10 penternak lembu bebas
tuduhan membunuh
Utusan Malaysia, 1 Ogos 2002
IPOH 31 Julai
- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan 10 orang
penternak lembu daripada tuduhan membunuh lima lelaki di sebuah ladang
kelapa sawit di Gopeng, tiga tahun lalu.
Bagaimanapun
kegembiraan mereka hanya seketika apabila mereka ditangkap semula oleh
polis di luar mahkamah mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman
Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.
Sepuluh
penternak terbabit ialah S. Ramarao, 30; S. Ramasami, 43; S. Apparao, 33;
R. Kali Kavundan, 33; P. Muniandy, 30; S. Jaganathan, 38; P. Arumanggum,
35; S. Ragindran, 33; S. Athithan, 37 dan S. Kumar, 39.
Pesuruhjaya
Kehakiman, Su Geok Yiam dalam keputusannya berkata, setelah mendengar
keterangan dan penghujahan kedua-dua pihak pendakwa dan pembela, mahkamah
mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua
tertuduh.
``Mahkamah
merekodkan bahawa 10 orang tertuduh ini dilepaskan dan dibebaskan daripada
tuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,'' katanya.
Mereka dituduh
membunuh lima lelaki iaitu Mhd. Daud Mustapa, Musa Hassan, Mohamad Ali
Mohd. Nordin dan Zainal Abidin Gol Mohamed di Kota Bahroe Estate, Gopeng,
antara pukul 2.40 pagi hingga 8 pagi, 7 Oktober 1999.
Kesemua mereka
menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan
bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan ia membawa
hukuman mati.
Geok Yiam
berkata, selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani
Abd. Aziz dan peguam D. P. Vijandran, mahkamah berpuas hati bahawa
identiti lima orang mangsa adalah benar seperti yang disahkan oleh
saksi-saksi.
``Bagaimanapun,
keterangan dan bukti yang dikemukakan tidak menunjukkan bahawa 10 orang
tertuduh itu mempunyai sebarang kaitan dengan kecederaan yang menyebabkan
kematian mangsa-mangsa,'' katanya.
Oleh itu,
katanya, mahkamah membuat kesimpulan yang bertentangan terhadap pihak
pendakwa mengikut Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950.
Katanya, ini
kerana pendakwa gagal memanggil pengurus ladang dan pengawal keselamatan
bagi memberi keterangan bahawa si mati berada di ladang itu atas arahan
pihak pengurusan ladang bagi menghalau kerbau-kerbau liar.
Geok Yiam juga
berkata, pihak pendakwa gagal dalam usaha mengemukakan lima kenyataan
beramaran oleh lima orang tertuduh dan mahkamah mendapati kenyataan itu
tidak boleh dijadikan bukti pada perbicaraan itu.
Kenyataan
beramaran itu melibatkan kenyataan yang dibuat kepada polis mengikut
Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah oleh lima orang tertuduh iaitu Kali
Kavundan, Muniandy, Arumanggum, Ramarao dan Athithan.
Katanya,
semasa bicara dalam bicara bagi membuktikan kesahihan kenyataan kelima-lima
tertuduh itu yang dijalankan sebanyak lima kali, telah menyebabkan
perbicaraan berlarutan berikutan saksi-saksi pendakwa gagal memberi
keterangan.
Menurutnya,
pihak pendakwa juga berjaya dalam usahanya mencabar kredibiliti tiga orang
saksi pendakwa selepas mahkamah berpuas hati bahawa keterangan mereka
berbeza dengan kenyataan mereka kepada polis.
Tiga orang
saksi yang dicabar kredibiliti mereka ialah R. Rajandran, Bilbir Singh dan
Jaswant Singh.
Sepuluh orang
penternak lembu itu dituduh di Mahkamah Majistret Kampar pada 20 Disember
1999 dan perbicaraan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Ipoh yang
bermula pada 5 Februari tahun lalu melibatkan 76 orang saksi pendakwa.
[
Menu Utama ]
|