Timur: Jaip kaji contoh barang kulit untuk tentukan jenis haiwan
Berita Harian, 10 Ogos 2002


KUANTAN, Jumaat – Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan mengambil contoh pelbagai jenis barang kulit yang berada di pasaran bagi menentukan jenis haiwan digunakan.

Usaha itu akan dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pahang yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang, sementara Jabatan Kimia dari aspek kajian dan pengesahan.

Penolong Pegawai (Bahagian Penyelidikan) Jaip, Abd Qahar Abd Aziz, berkata pengambilan contoh barang kulit yang disyaki diperbuat daripada kulit babi bukan saja dilakukan melalui pemeriksaan rambang, tetapi dibuat selepas mendapat aduan orang ramai.

Selepas mengenal pasti produk kulit yang disyaki, Jaip bersama Jawatankuasa Halal/Haram Pahang yang dianggotai pegawai kementerian, Jabatan Haiwan, Jabatan Kesihatan, Majlis Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kimia akan membuat pemeriksaan lanjut seterusnya mengambil contoh barang itu.

"Kehadiran pegawai bahagian penguat kuasa kementerian penting kerana mereka mempunyai kuasa mengikut undang-undang bagi mengambil contoh barang kulit.

"Sementara itu, Jaip hanya bertanggungjawab menerima aduan dan menghebahkan semua keputusan tahap kesucian, termasuk jenis kulit haiwan yang digunakan selepas hasil kajian Jabatan Kimia.

"Melalui siasatan, barulah kita menentukan halal dan haram suatu barang kulit," katanya di sini semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan Jaip dan kementerian mengambil contoh beg tangan wanita, beg pinggang, termasuk dompet yang disyaki diperbuat dari kulit babi.

Qahar berkata, tindakan mengambil sembilan contoh barang kulit itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan orang ramai yang mensyaki ia diperbuat daripada kulit babi.

Bagaimanapun, katanya keputusan sama ada semua contoh barang terbabit diperbuat daripada kulit babi atau kulit haiwan lain hanya dapat diketahui dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Bagi memastikan tindakan melarang penjualan atau meletakkan tanda peringatan kepada orang Islam, semua keputusan contoh barang yang diperoleh akan diedarkan kepada pihak bertanggungjawab di seluruh negeri.

"Jaip juga akan menghantar laporan penuh kepada Pusat Islam untuk tindakan lanjut," katanya yang berharap pengguna lebih berhati-hati membeli apa juga barangan kulit.

Katanya, sesiapa yang mencurigai tahap kesucian barang tertentu di pasaran, boleh menghubungi Jaip atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi tujuan pemeriksaan dan mengambil contohnya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya pernah mengambil contoh beberapa berus kasut dan cat yang dipercayai menggunakan bulu babi yang kemudiannya disahkan Jabatan Kimia.



[ Menu Utama ]