Edisi Selatan: Ayam sembelih, cucuk satu periuk
Harian Metro, 10 Ogos 2002


MUAR: Perbuatan merebus ayam sembelih dan ayam cucuk dalam satu periuk, terus menjadi amalan terbuka peniaga ayam bukan Melayu yang menggunakan pekerja Islam di pasar awam sekitar Muar dan Tangkak.

Berikutan itu, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) diminta memastikan tabiat itu dihentikan segera kerana ia menjijikkan pengguna Islam sebab ayam cucuk dikategorikan sebagai bangkai.

Ini kerana Jabatan Agama Johor (JAJ) melalui Pejabat Agama Daerah Muar hanya mempunyai kuasa memberi lesen sembelihan kepada peniaga atau pekerja Islam menerusi kursus khas yang dijalankan jabatan itu.

Amalan merebus ayam sembelih dengan bangkai ayam itu disedari peniaga lain tetapi mereka tidak berbuat apa-apa, demi mengelak perselisihan faham.

Seorang suri rumah, Zuraidah Ismail, 32, mendakwa dia melihat seorang peniaga ayam bukan Islam melakukan perbuatan itu ketika mengunjungi pasar terbabit untuk membeli ayam kampung.

Beliau berkata, peniaga ayam itu meminta seorang pekerja Islam menyembelih dua ekor ayam yang hendak dibelinya, selepas peniaga itu mencucuk seekor ayam lain yang dipesan oleh pelanggan bukan Islam.

“Selepas itu, saya lihat dia masukkan semua ayam berkenaan dalam sebuah tong sehingga mati, sebelum dimasukkan dalam satu periuk air panas yang terletak dalam gerainya.

“Perbuatan itu membuatkan saya rasa jijik mengenangkan ayam yang disembelih dengan ayam cucuk dimasukkan dalam satu periuk kerana ayam mati cucuk ibarat bangkai.

“Apabila siap diproses, saya bayar harga ayam itu tetapi memberikannya kepada rakan bukan Islam kerana tidak sanggup makan dan meragui hukum perbuatan itu,” katanya.

Beliau berkata, selama ini, dia menjadi pelanggan tetap gerai ayam peniaga terbabit setiap kali hendak membeli ayam kampung, tanpa menyedari amalan yang meragukan itu.

Katanya, peniaga terbabit turut menggunakan khidmat beberapa orang pekerja Islam di gerainya, yang turut menjual ayam daging kepada pelanggan.

Tinjauan Harian Metro ke Pasar Awam Muar turut terserempak dengan perbuatan itu yang membabitkan gerai bukan Melayu serta mempunyai pekerja beragama Islam.

Ada peniaga bukan Melayu di pasar itu hanya menjual ayam cucuk kepada pelanggan bukan Islam saja dan itu tidak menimbulkan masalah.

Masalah yang dihadapi kini ialah adanya peniaga berkenaan yang menggunakan pekerja Islam untuk menarik pelanggan Melayu.

Berdasarkan keadaan itu, sewajarnya pihak berkuasa menghentikan amalan jijik dengan segera dan mengarahkan peniaga ayam itu memilih satu kaedah sembelihan saja dalam perniagaan mereka.

Sementara itu, Ketua Whip MPM, Hamim Samuri ketika dihubungi, berkata pihaknya akan meminta Pejabat Agama Daerah Muar menyiasat amalan itu dan mengambil tindakan sewajarnya kerana ianya membabitkan sensitiviti umat Isla
m.


[ Menu Utama ]