KUALA LUMPUR: Pegawai
perkhidmatan awam sekali lagi digesa meningkatkan penguasaan bahasa
Inggeris termasuk ketika mengadakan rundingan kerana perkara ini adalah
cabaran kritikal dalam menghadapi era globalisasi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, berkata dalam konteks
globalisasi, perkara yang menjadi kebimbangan kerajaan pada masa ini
ialah penguasaan bahasa Inggeris di Malaysia termasuk di kalangan
pegawai kerajaan. "Ramai khuatir apabila melihat penguasaan bahasa
Inggeris di kalangan pegawai kerajaan terutama pegawai muda. Jika
langkah tidak diambil secara serius dan segera, dikhuatiri kita akan
ketinggalan," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Diploma dan
Penganugerahan Fellow Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Intan di
sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Jamaluddin
Ahmad Damanhuri dan Pengarah Intan Datuk Dr Zulkurnain Awang.
Pada majlis itu, Samsudin menyampaikan Anugerah Fellow Intan 2002 kepada
Datuk Dr Mohd Shaari Ahmad Jaabar dan diploma perkhidmatan awam kepada
318 graduan.
Beliau berkata, pegawai kerajaan perlu terus memainkan peranan aktif
dalam rundingan pada peringkat antarabangsa demi menjaga kepentingan
negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap pegawai awam membaca
sekurang-kurangnya sebuah buku bahasa Inggeris setiap bulan, termasuk
novel yang baik.
Samsudin turut meminta anggota perkhidmatan awam supaya sentiasa peka
dan bertindak proaktif terhadap masalah yang dihadapi sektor swasta dan
orang ramai.
"Di antara langkah berterusan yang perlu diambil adalah meneliti semula
pelbagai peraturan dan tatacara birokrasi. Peraturan yang bersifat
sebagai penghalang, rumit dan memakan masa, hendaklah dikaji dan
diperbaiki semula," katanya.
Beliau berkata, kerjasama yang erat antara sektor awam dan swasta dapat
memberi pulangan yang tinggi kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Pada masa yang sama, Samsudin berkata, pemantauan secara turun padang
iaitu pembabitan secara langsung oleh pegawai atasan, juga hendaklah
dibuat bagi pelaksanaan projek pembangunan kerajaan.
"Pemantauan adalah satu fungsi pengurusan asas, yang jika diabaikan
boleh mengakibatkan masalah seperti pembaziran wang. Perhatian juga
perlu diberikan kepada aspek senggaraan iaitu bagi projek yang sudah
siap," katanya.
Di samping itu, beliau berkata, pegawai kerajaan juga hendaklah memahami
dan meneliti semua dokumen perancangan kerajaan seperti Rancangan Jangka
Panjang dan Rancangan Lima Tahun.
Katanya, penghayatan dasar pembangunan kerajaan itu adalah penting dalam
meningkatkan kesungguhan serta komitmen dalam melaksanakan projek
pembangunan.
Beliau turut menyentuh mengenai keperluan pegawai perkhidmatan awam
untuk mengikuti perkembangan di luar negara dan institusi antarabangsa
supaya mereka dapat melihat kesan perkembangan di luar organisasi mereka.
"Mereka perlu sedar bahawa sempadan organisasi tidak terbatas kepada
sempadan fizikal organisasi itu atau sempadan negara semata-mata.
Pegawai perkhidmatan awam perlu memahami konsep globalisasi dan kesannya
kepada negara," katanya.
[ Menu Utama ]