Bahasa Inggeris, ICT
kakitangan awam perlu ditingkat
Utusan Malaysia, 11 Ogos 2002
KUALA LUMPUR
10 Ogos - Penguasaan bahasa Inggeris (BI) di kalangan kakitangan awam dan
kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
perlu dipertingkatkan bagi menjamin perkhidmatan yang cekap dan cemerlang,
kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.
Beliau berkata
penguasaan bahasa Inggeris penting kerana ia sebahagian daripada bahasa
ilmu dan bahasa komunikasi dalam perundingan peringkat antarabangsa.
``Penguasaan
bahasa Inggeris di kalangan pegawai kerajaan terutamanya pegawai muda
memerlukan peningkatan dengan segera kerana ia merupakan cabaran yang
kritikal pada masa ini,'' katanya semasa berucap pada majlis penyampaian
diploma dan penganugerahan Fellow Intan 2002 di Institut Tadbiran Awam
Negara (Intan) hari ini.
Seramai 318
graduan menerima diploma - 242 orang bagi Diploma Pengurusan Awam (DPA),
57 Diploma Sains Pengurusan (DSP) dan 19 menerima Diploma Pengurusan
Maklumat (DPM).
Pada majlis
itu juga bekas Timbalan Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Mohamed
Shahari Ahmad Jabar dianugerahkan Fellow Intan 2002, anugerah tertinggi
dalam perkhidmatan awam, dan beliau merupakan penerima yang ke-16.
Samsudin turut
menyarankan supaya setiap pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam membaca
sekurang-kurangnya sebuah buku bahasa Inggeris setiap bulan bagi
meningkatkan penguasaan terhadap bahasa itu.
Menurutnya,
perkembangan ICT sebagai satu revolusi memberi implikasi terhadap cara
perhubungan dan memberi maklumat kepada pelanggan.
Bagi memenuhi
keperluan pelanggan yang lebih canggih serta menyahut cabaran globalisasi,
kakitangan perkhidmatan awam perlu meningkatkan pengetahuan mereka dalam
bidang teknologi maklumat (IT) secara berterusan, katanya.
Katanya,
peralihan penyampaian maklumat cara elektronik bukan sahaja melibatkan
perubahan dalam sistem tetapi turut membawa kesan kepada cara orang ramai
dan sektor swasta berurusan dengan kerajaan. - Bernama
[
Menu Utama ]
|