KUALA LUMPUR, Ahad:
Kerajaan mahu membangunkan laluan dalam hutan di antara Selangor dan
Pahang untuk dijadikan trek bagi kegiatan sukan berkuda, kata Datuk Seri
Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, laluan sedia ada itu yang dulunya digunakan
sebagai laluan pergi/balik di antara Pahang dan Selangor, didapati amat
sesuai untuk sukan lasak berkuda dan kerajaan sedang memikirkan kaedah
bagi membangunkannya semula.
Malah katanya, kerajaan juga sedang meninjau sama ada laluan bawah tanah
di Janda Baik serta kawasan gua, selain beberapa kawasan lain boleh
dibangunkan sebagai pusat kegiatan sukan berkuda.
“Kita akan mempromosikan sukan berkuda ini secara perlahan-lahan dengan
pelbagai jenis lumba kuda,” katanya selepas menyampaikan hadiah pada
kejohanan Sukan Berkuda Antarabangsa 100 tahun Kelab Polo dan Menunggang
Kuda Selangor (SPRC) di Ampang Hilir, dekat sini hari ini.
Pada kejohanan itu, tiga ekuin negara yang bakal bersaing di Sukan Asia
di Busan Oktober ini, terus unggul apabila menguasai saingan terakhir
acara show jumping World Cup Grand Prix dengan mengetepikan cabaran
ekuin dari Filipina, Thailand dan Sweden. Syed Omar Syed Abu Bakar
muncul juara, diikuti Azni Md Azar dan Qabil Ambak.
Dr Mahathir berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi tiga anak
tempatan itu yang bakal dipilih ke Busan, Korea Selatan nanti dan
berharap lebih ramai lagi anak tempatan membabitkan diri dalam sukan
berkuda.
Beliau berkata, banyak acara lumba kuda antarabangsa diadakan di negara
ini di samping pelumba tempatan turut menyertai kejohanan itu di luar
negara.
Sementara itu, dalam perutusannya pada buku cendera mata sempena
kejohanan terbabit, Dr Mahathir mengucapkan tahniah kepada SPRC kerana
berjaya menganjurkan kejohanan itu sejak Khamis lalu.
“Saya berharap peserta negara akan berusaha menunjukkan kecekapan mereka
untuk mencapai kejayaan dalam kejohanan ini seperti ditunjukkan pada
Sukan Sea XXI tahun lalu.
“Saya yakin kejohanan ini akan dapat menyemarakkan lagi nama negara
sebagai pusat sukan berkuda yang terkenal di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan dan galakan penuh
untuk program meningkatkan sukan ekuestrian di negara ini.
Katanya, sukan ekuestrian itu bukan saja boleh menjadi sukan kegemaran
rakyat jelata jika dipromosikan dengan betul, malah boleh menjadi sukan
yang popular seperti sukan-sukan lain.
Dalam hubungan ini katanya, kerajaan sedang berusaha untuk menjadikan
negara ini sebagai pusat ekuestrian yang lengkap, canggih dan popular di
rantau Asia Tenggara
[ Menu Utama ]