SETIU, Ahad: Kementerian
Pertanian diperuntukkan RM300 juta daripada Program Pembiayaan Wang
Ehsan (PPWE) untuk melaksanakan pelbagai projek, termasuk menaikkan
taraf sistem pengairan dan saliran di kawasan Projek Pembangunan
Pertanian Terengganu Utara (Ketara).
Pengerusi Ketara, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata sebanyak RM5
juta diperuntukkan pada fasa pertama untuk menggantikan sistem tali air
di Lembah Setiu.
Katanya, sebanyak RM10 juta lagi diperuntukkan untuk membaiki serta
membina kemudahan asas, termasuk projek jalan ke kawasan penanaman padi
di wilayah Ketara, membabitkan daerah Setiu dan Besut.
“Apabila siap sepenuhnya projek ini dijangka dapat mengatasi masalah
petani terutama sistem pengairan dan kemudahan asas bagi meningkatkan
hasil pertanian.
“Kita yakin pengeluaran hasil pertanian akan meningkat dan sasaran
petani untuk mengeluarkan kira-kira 10 tan padi akan tercapai dengan
penanaman padi dua kali setahun,” katanya kepada Berita Harian di sini,
hari ini.
Beliau berkata, projek yang dilaksanakan membabitkan peruntukan besar
itu dijangka akan memanfaatkan sepenuhnya tanah terbiar milik petani
yang sebelum ini tidak dapat diusahakan.
Tengku Mahmud berkata, peruntukan PPWE juga akan disalurkan bagi
melaksanakan beberapa projek pembangunan, termasuk menyediakan kemudahan
infrastruktur dan input pertanian.
“Kementerian juga menggalakkan petani menggunakan input pertanian moden
untuk meningkatkan hasil tanaman dan pengeluaran makanan untuk menambah
pendapatan.
“Saya berharap petani yang menerima bantuan ini akan berusaha
bersungguh-sungguh untuk menambah pendapatan dan keluar daripada
kelompok penduduk miskin,” katanya
[ Menu Utama ]