Malaysia,Thai,Myanmar wujud zon bebas wabak
Berita Harian, 14 Ogos 2002

GEORGETOWN, Selasa: Malaysia-Thailand-Myanmar (MTM), akan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mewujudkan zon bebas wabak penyakit kaki dan mulut (FMD) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Datuk Dr Mohd Nordin Mohd Noor, berkata MoU itu akan dimeterai selewat-lewatnya hujung tahun ini membabitkan kerjasama penyelidikan, teknikal dan yang berkaitan dengannya.

Katanya, sasaran bebas daripada wabak itu dalam tempoh lima tahun dibuat berdasarkan kerjasama sedia terjalin dan usaha berterusan ketiga-tiga negara bagi menangani masalah berkenaan.

Beliau berkata, pengwujudan zon itu selaras keperluan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) bagi faedah ketiga-tiga negara untuk membolehkannya mendapat pengiktirafan badan dunia itu sebagai kawasan bebas FMD.

"Dengan pengiktirafan OIE, dagangan haiwan ternakan di ketiga-tiga negara akan dapat lebih mudah memasuki pasaran antarabangsa," katanya selepas merasmikan mesyuarat kerja kumpulan Asean bagi haiwan ternakan di Hotel Paradise Sandy Bay di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang akhbar itu, Pengarah Perkhidmatan Haiwan negeri, Dr Zairi Serlan.

Seramai 50 peserta dan pemerhati mewakili 10 negara anggota Asean menyertai mesyuarat empat hari itu yang bermula hari ini.

Nordin berkata, kerjasama antara negara jiran terutama anggota Asean perlu bagi memastikan usaha menangani penyakit itu dapat dijalankan secara berkesan.

Katanya, sukar untuk menangani wabak berkenaan jika hanya satu negara berusaha mengawalnya, sedangkan negara jiran lain tidak melakukan sesuatu.

Beliau berkata, ini kerana industri ternakan adalah satu pergerakan dan sebarang penyakit mudah merebak.

"Zon bebas daripada wabak FMD akan berupaya membebaskan ketiga-tiga negara MTM serta anggota Asean lain daripada jangkitan berbahaya berkenaan dalam tempoh yang disasarkan.

"Penubuhan zon itu juga berupaya meningkatkan perkembangan industri ternakan di rantau Asia Tenggara," katanya.

Berita Harian difahamkan cadangan untuk menubuhkan zon bebas FMD adalah hasil daripada bengkel dengan Suruhanjaya Kecil OIE bagi wabak itu untuk rantau Asia Tenggara, Mei tahun lalu.

OIE adalah satu badan antarabangsa yang berpangkalan di Paris, Perancis yang mengeluarkan sijil kelulusan menentukan haiwan ternakan yang dieksport dan diimport menepati piawaian diperlukan.


[ Menu Utama ]