KUALA LUMPUR, Selasa: Perkhidmatan di
jabatan kerajaan, termasuk transaksi membabitkan pembayaran akan
dilakukan menerusi Internet apabila Portal Perkhidmatan Awam dibangunkan
tidak lama lagi.
Portal itu juga membolehkan jabatan kerajaan menyediakan perkhidmatan
interaktif dari segi pengaliran maklumat atau penghantaran borang dan
jawapan.
Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Malaysia (Mampu), Datuk Dr
Muhammad Rais Abdul Karim, berkata bagi tujuan itu, beberapa aplikasi
menerusi Kerajaan Elektronik, seperti perkhidmatan elektronik
(e-Services) dan projek perkhidmatan awam elektronik (e-Public Services)
perlu disepadu melalui proses integrasi dan penyesuaian.
Mampu perlu memastikan semua jabatan kerajaan membangunkan laman web
masing-masing yang bermutu tinggi dari segi kandungan dan paparannya
terlebih dulu.
Pada masa ini, perkhidmatan siaran web agensi kerajaan dapat diakses
melalui Rangkaian Perkhidmatan Awam Malaysia (MCSL). MCSL adalah gerbang
utama rangkaian elektronik perkhidmatan awam yang menyalurkan maklumat
dan perkhidmatan dalam talian kerajaan.
Komponen utama MCSL ialah laman web perdana MCSL yang dirangkaikan
dengan semua laman web agensi kerajaan melalui Internet. Laman web ini
bertindak sebagai jendela tunggal maklumat dan perkhidmatan dalam talian
perkhidmatan awam.
“Usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan keupayaan MCSL kepada tahap
yang lebih tinggi. Tumpuan utama Mampu ialah memastikan semua jabatan
kerajaan membangunkan laman web masing-masing,” katanya hari ini.
Dr Muhammad Rais berkata demikian ketika melancarkan laman web Aastha
oleh Aastha InterNetworks Corporation Sdn Bhd - www.aastha.com - yang
memaparkan secara langsung peristiwa atau perayaan penting di negara ini.
Beliau mewakili Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman.
Laman web www.aastha.com.my yang dikendalikan Aastha Internetworks
Corporation Sdn Bhd menyiarkan acara dan perayaan penting negara secara
langsung melalui saluran internet.
Ia menggunakan format ‘webcasting’ iaitu kaedah penyampaian melalui
kandungan audio dan video pada waktu sebenar kepada pengguna secara
dalam talian.
Laman web itu memberi peluang kepada seluruh dunia menyaksikan sendiri
sesuatu acara ataupun peristiwa yang sedang berlangsung di negara ini
tanpa batasan.
Dr Rais menasihatkan pengendali laman web itu supaya memastikan kualiti
dan paparannya sentiasa pada tahap yang tinggi bagi menjamin
keberkesanannya.
[ Menu Utama ]