KUALA LUMPUR, Selasa:
Kementerian Pertanian akan melancarkan Skim Persijilan Perladangan
Organik (SPPO) 2 Januari tahun depan, bagi mengiktiraf ladang yang
mengamalkan sistem secara organik serta menepati piawaian negara iaitu
MS 1529.
Piawaian yang turut diterima pakai di peringkat antarabangsa itu
menggariskan keperluan berkaitan pengeluaran, pemprosesan, penyimpanan,
pengangkutan, pelabelan dan pemasaran bahan makanan organik.
Serentak itu, mulai tarikh yang sama, semua produk organik yang dijual
sama ada di pasaran tempatan atau antarabangsa akan diberi pengiktirafan
dan sijil yang dikeluarkan Jabatan Pertanian.
Bagaimanapun, pada peringkat permulaan, SPPO akan memberi tumpuan kepada
pengeluaran dan pengendalian komoditi berdasarkan tanaman saja.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi,
berkata masalah utama yang dihadapi sekarang ialah negara mempunyai
produk organik tetapi tidak ada sebarang pengesahan daripada mana-mana
pihak berkuasa bahawa produk itu benar-benar dikeluarkan daripada ladang
organik.
Sehubungan itu, katanya, Jabatan Pertanian akan bekerjasama dengan
sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Organic Alliance
of Malaysia (OAM) untuk mengenal pasti ladang organik yang menepati
syarat untuk dianugerahkan sijil berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini, 27 ladang dengan keluasan tanaman 131
hektar sudah dikenal pasti dan boleh diiktiraf sebagai ladang organik.
“Mulai 2 Januari ini, pengusaha tanaman organik hanya boleh mengakui dan
menjual produk mereka selepas mendapat sijil yang dikeluarkan Jabatan
Pertanian.
“Melalui proses itu juga, kita harap pembeli tidak akan berasa was-was
lagi apabila hendak membeli produk organik,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Seminar SPPO di sini, hari ini.
Seminar sehari anjuran Jabatan Pertanian Malaysia, Pusat Alam Sekitar,
Pembangunan dan Teknologi Malaysia (CETDEM), Rangkaian Pertanian Organik
Malaysia (MOFAN) serta OAM dihadiri kira-kira 200 peserta termasuk
pengusaha tanaman organik di negara ini.
Perladangan organik ialah satu sistem pengurusan pengeluaran tanaman
makanan menyeluruh yang menggalak dan meningkatkan kesihatan ekosistem,
penyelenggaraan serta kesuburan tanah.
Ia mementingkan penggunaan amalan pertanian yang baik daripada
penggunaan input luaran.
Mengulas lebih lanjut, Effendi berkata, produk organik mempunyai potensi
dan pasaran yang besar bukan saja di dalam negara malah di negara maju
seperti Eropah dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, pada tahun 2000, anggaran jualan runcit produk organik
di lima negara maju iaitu Eropah, Amerika, Jepun, Australia dan New
Zealand mencapai AS$20 bilion (RM76 bilion).
Sehubungan itu, beliau meminta peladang tradisional yang tidak
menggunakan baja dan racun kimia mendaftarkan diri dengan Jabatan
Pertanian bagi diberi pengiktirafan sebagai ladang organik.
Ketika ini, katanya, Malaysia mempunyai 400,000 hektar ladang yang
diusahakan petani dengan tidak menggunakan baja atau racun kimia.
Kebanyakan ladang itu diusahakan dengan tanaman buah-buahan seperti
rambutan dan manggis
[ Menu Utama ]