MELAKA, Selasa: Kerajaan meminta
pemelihara sarang burung layang-layang di taman perumahan serta premis
warisan menghentikan kegiatan itu segera kerana menyalahi peraturan
keceriaan dan keindahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Mereka yang degil akan dikenakan tindakan tegas oleh PBT serta Jabatan
Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kata Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk
Wira Poh Ah Tiam.
Beliau berkata, mereka yang hendak berbuat demikian perlu mengemukakan
pelan pindaan bangunan kepada PBT sebelum diluluskan untuk operasi.
Katanya, premis bangunan yang hendak dijadikan tempat penghasilan sarang
burung layang-layang perlu mempunyai jarak sekurang-kurangnya 100 meter
dari kediaman, sekolah dan rumah ibadat.
“Pengusaha dikehendaki menggunakan peralatan moden mengawal kelembapan
dan suhu yang sesuai serta tidak dibenarkan menggunakan pancutan air dan
takungannya,” katanya hari ini.
Poh berkata, pengusaha juga perlu mematuhi had kekuatan bunyi yang
dibenarkan dengan tidak melebihi 55 decible pada waktu siang dan 65
decible pada waktu malam.
Selain itu, pengusaha juga perlu memastikan premis pemeliharaan dan
penghasilan sarang burung sentiasa bersih dengan najis burung dibuang di
tempat pembuangan yang disediakan.
“Kebersihan perlu dijaga untuk mengelakkan najis burung bertaburan,
manakala kadar bunyi juga perlu dipatuhi untuk mengelakkan kebisingan,”
katanya.
Poh berkata, pengusaha yang hendak menjalankan operasi itu perlu
mendapatkan permit daripada Perhilitan serta permit perniagaan dari PBT
di negeri ini.
[ Menu Utama ]