JOHOR BAHRU, Rabu -
Jalinan hubungan baik antara media massa dan Lembaga Pertubuhan Peladang
(LPP) di Johor perlu diteruskan bagi mempromosikan projek pertanian yang
diusahakan agensi di bawah pertubuhan itu.
Pengarah LPP negeri, Bahar Puteh Mahadi, berkata hubungan kedua-dua
pihak penting untuk bersama membantu memajukan sektor pertanian di
negara ini, selaras dasar Kementerian Pertanian dalam mengukuhkan sektor
berkenaan.
“Kita (LPP) harap hubungan yang lebih erat dapat diwujudkan di kalangan
pegawai khidmat sosial LPP di setiap daerah dengan media bagi
menghebahkan segala projek pembangunan pertanian yang dijalankan
sekarang.
“Langkah sedemikian penting bagi menghebahkan setiap projek pertanian di
bawah LPP supaya membolehkan rakyat menikmati pengeluaran produktiviti
sendiri,” katanya berucap pada majlis makan malam LPP bersama media
massa Johor dan pelancaran `Buku Keratan Laporan Media 2001' di Hotel
MiCasa, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi LPP, Prof Datuk Dr Alang Perang Zainuddin serta
lebih 30 pengamal media massa di Johor.
Bahar Puteh berkata, projek LPP banyak diusahakan Pertubuhan Peladang
Kawasan (PPK) di sekitar negeri ini, terutama membabitkan projek
komersial serta ternakan ayam, penanaman sayur, buah-buahan dan ternakan
ikan dalam sangkar.
Katanya, semua projek komersial itu perlu dihebahkan supaya orang ramai
mengetahui produk sendiri lebih berkualiti, dijamin, murah dan mudah
didapati di pasaran.
Pada majlis sama, Dr Alang turut melancarkan Buku Keratan Laporan Media
2001 yang mengandungi keratan laporan akhbar mengenai LPP dan PKK, di
samping aktiviti pembangunan pertanian.
[ Menu Utama ]