BATU PAHAT, Khamis –
Penduduk di Kampung Sungai Suloh, di sini, mendakwa kehidupan mereka
terjejas berikutan kehadiran lalat yang semakin banyak dipercayai
berpunca kegiatan penternakan ayam di kawasan berhampiran.
Keadaan itu juga menyebabkan penduduk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan
sendiri, terutama bagi membeli alat khas untuk menghalau serangga
berkenaan.
Seorang penduduk, Yusof Abd Hamid, 35, berkata kehadiran lalat itu turut
memaksa mereka menutup makanan sepanjang masa bagi mengelakkannya
dihurungi lalat.
“Penduduk di kawasan ini berdepan masalah lalat hampir sepanjang masa
dipercayai daripada operasi ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran,”
katanya.
Yusof juga merayu kerajaan segera mengatasi masalah kekurangan kemudahan
asas di sesetengah kawasan di kampung berkenaan, termasuk bekalan air
bersih serta jalan yang sempurna.
“Sesetengah penduduk terpaksa menggunakan perigi sebagai sumber air
utama, tetapi kini menghadapi masalah penyakit kulit dipercayai akibat
air perigi itu,” katanya.
Selain itu, katanya, mereka juga sehingga kini belum mendapat kemudahan
jalan yang sempurna seperti kampung lain dan masih menggunakan jalan
berbatu untuk berurusan.
Mengulas masalah penduduk kampung itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Siam
Kasrin, berkata kegiatan penternakan ayam berhampiran penempatan itu
sudah beberapa kali dibangkitkan pada mesyuarat pembangunan daerah.
“Saya sudah mengemukakan perkara ini dalam mesyuarat berkenaan, tetapi
sehingga kini tiada tindakan diambil pihak bertanggungjawab.
“Bagaimanapun, pejabat saya masih berusaha menyelesaikan semua masalah
berkenaan secepat mungkin dan diharap penduduk dapat bersabar,” katanya.
Beliau berkata, masalah bekalan air mungkin mengambil masa untuk
diselesaikan kerana ia membabitkan peruntukan daripada Kementerian
Pembangunan Luar Bandar.
[ Menu Utama ]