Reban hawa dingin
tingkatkan hasil
Utusan Malaysia, 19 Ogos 2002
Oleh
SAHBULAH MOHAMAD DARWI (Yang mengikuti lawatan Projek Pengeluaran
Makanan Johor anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang, baru-baru ini).
PENGGUNAAN teknologi moden bukan perkara baru dalam industri pertanian
kerana ia telah sekian lama menjadi pemangkin kepada para penternak dan
peladang bagi meningkatkan hasil dan mutu pengeluaran makanan.
Suatu masa
dahulu iaitu pada kurun ke-18, penggunaan teknologi telah meledakkan
revolusi pertanian di Eropah. Revolusi tersebut telah mengubah aktiviti
pengeluaran makanan yang secara kecil-kecilan bertukar kepada berskala
besar dengan penemuan ciptaan teknologi terbaru.
Misalnya,
tokoh-tokoh seperti Robert Bakewell (1725-95) telah memperkenalkan kaedah
moden pengurusan ternakan manakala Jethro Tull (1674-1741) telah
memperkenalkan alat membajak benih di ladang.
Pada masa ini,
negara-negara pengeluar makanan sememangnya memahami bahawa aktiviti itu
tidak boleh tidak, mesti berorientasikan komersial dengan hasil
pengeluaran secara besar-besaran dan dibantu oleh penggunaan teknologi
moden.
Apatah lagi
dengan kehadiran cabaran globalisasi dan liberalisasi yang menuntut
golongan petani, penternak dan peladang sentiasa bersedia untuk menghadapi
cabaran persaingan. Golongan berkenaan yang berada di negara ini juga
tidak terkecuali dengan persaingan tersebut.
Justeru,
Kementerian Pertanian telah menggariskan beberapa panduan kepada golongan
itu yang antara lain mahukan sektor pertanian berwajah baru yang
menitikberatkan pemindahan teknologi.
Ia merupakan
transformasi pertanian iaitu perubahan menyeluruh bagi meningkatkan mutu
dan saiz pengeluaran. Dengan itu, kerja-kerja pertanian secara tradisional
patut ditinggalkan kerana golongan petani, penternak dan peladang harus
menerima hakikat bahawa sektor itu hanya boleh mendatangkan pendapatan
yang lumayan sekiranya diusahakan secara komersial dengan bantuan
teknologi.
Antara agensi
yang diberi tanggungjawab oleh kementerian untuk merealisasikan hasrat
tersebut ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Pengerusi LPP,
Prof. Datuk Dr. Alang Perang Abdul Rahman Zainuddin berkata, penggunaan
teknologi membolehkan hasil ternakan dan sayur-sayuran dari negara ini
dieksport dengan mudah ke negara lain. Ini kerana, katanya, hasil
pengeluaran menggunakan teknologi terkini adalah lebih bersih dan menepati
piawaian antarabangsa.
Menurut beliau,
sektor ternakan yang sedang giat menerima arus perubahan teknologi
termasuklah aktiviti ternakan ayam yang mula menggunakan sistem reban
tertutup berhawa dingin. Hasil ternakan menggunakan sistem tersebut
mempunyai pasaran yang lebih luas berbanding ternakan ayam secara
tradisional iaitu menggunakan sistem reban terbuka.
``Misalnya,
Singapura akan mengamalkan dasar tutup pintu terhadap bekalan ayam daging
dari negara ini yang masih menggunakan sistem terbuka mulai tahun depan,''
katanya kepada para wartawan pada sidang media selepas melawat Ladang LPP
Kawasan Johor Baharu Selatan, baru-baru ini.
Alang Perang
berkata, pihaknya menyeru para penternak ayam agar menggunakan sistem
terbaru itu yang lebih efisien selain mampu membekalkan jumlah pengeluaran
yang konsisten. Bagaimanapun, katanya, kebanyakan penternak masih
ragu-ragu dan masih belum bersedia untuk beralih kepada sistem itu kerana
kos permulaan yang agak tinggi.
Selain itu,
katanya, masalah utama golongan berkenaan untuk menceburi sektor pertanian
yang berasaskan teknologi ialah perubahan sikap.
Seorang
penternak ayam di Muar, Johor, Muhammad Yahya, 34, berkata, sistem itu
memberi pulangan pendapatan berlipat kali ganda berbanding sistem
tradisional.
``Sistem
tertutup mampu menempatkan sebanyak 17,000 hingga 19,000 ayam dalam setiap
reban, sedangkan reban sistem terbuka hanya boleh menempatkan kira-kira
4,000 ayam,'' jelasnya yang mengusahakan tiga reban ayam seumpama itu.
Penjagaan
makanan dan kebersihan sistem tersebut yang mudah menyebabkan kadar
kematian ayam berkurangan. Katanya, purata keuntungan bagi seekor ayam
tersebut ialah 98 sen.
Muhammad yang
juga bekas jurutera telah mengubah suai reban-reban miliknya dari semasa
ke semasa termasuk menggantikan sistem pendingin berasaskan jaring kepada
yang berasaskan kertas bagi meningkatkan mutu sistem penghawa dingin
berkenaan.
Beliau telah
membelanjakan hampir RM165,000 bagi sebuah reban berkenaan manakala
kira-kira RM39,000 pula dibelanjakan untuk membeli janakuasa sebagai
persediaan menghadapi sebarang masalah bekalan elektrik.
``Walaupun
modal asal untuk menggunakan sistem ini agak tinggi sedikit tetapi
pulangan modal akan diperoleh dalam jangka masa yang singkat iaitu
selewat-lewatnya tiga tahun,'' ujarnya lagi.
Sementara itu,
Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Johor Bahru Selatan, Mohd. Yusof Hassan
berkata, penanaman beberapa sayur-sayuran termasuk buah tomato dan cili di
Taman Usahawan Peladang Mukim Sungai Lebak, Johor, juga mengamalkan sistem
terbaru yang dikenali sebagai Fertigasi.
``Sistem itu
membolehkan hasil pengeluaran diperoleh empat kali ganda daripada biasa,''
katanya.
Beliau
menjelaskan, sistem yang tidak menggunakan tanah itu hanya menggunakan
sabut kelapa yang diproses berserta air dan baja. Selain hasil menjamin
hasil pendapatan yang lumayan, ia juga menjimatkan kos pengeluaran kerana
tidak banyak tenaga kerja diperlukan untuk menjaga tanaman itu.
``Hasil
tanaman juga berkualiti tinggi kerana kadar baja, air dan penyakit boleh
dikawal dengan mudah,'' katanya.
Dalam pada itu,
seorang usahawan muda, Sarmin Arshat, 31, berkata, sistem pengairan
terkini telah membolehkan beliau mengusahakan enam jenis tanaman rumpai
tropika akuatik di 27 kolam.
Rumpai-rumpai
itu dikenali dengan nama, Green Cabomba, Wistria, Trapanatan, Ralala
Indica, Round Bacopa dan Rosefolia.
Menurut beliau,
tanaman yang digunakan untuk hiasan dalaman akuarium ikan itu diimport ke
Taiwan, Hong Kong dan Singapura dan menerima permintaan yang amat
mengalakan.
``Terdapat
kira-kira 15,000 pokok pada setiap kolam itu yang berkeluasan 30.48 meter
kali 7.62 meter,'' katanya.
Dengan harga
dua sen bagi setiap pokok, beliau memperoleh pendapatan bersih kira-kira
RM1,500 setiap bulan
[
Menu Utama ]
|