Sabah/Sarawak: Sabah haram jual daging import
Berita Harian, 1 Ogos 2002


KOTA KINABALU, Rabu: Kabinet Sabah mengharamkan penjualan semua daging import beku di pasar terbuka bagi memastikan tahap kesihatan penduduk Sabah terus terpelihara.

Ketua Menteri, Datuk Chong Kah Kiat, berkata keputusan itu dibuat selepas menimbangkan pelbagai perkara berkaitan, termasuk mengelak sebarang jangkitan penyakit berbahaya.

Beliau berkata, ada laporan daging import beku, khususnya dari India dijual di tempat terbuka seperti tamu, gerai, kaki lima atau pasar malam secara berleluasa di beberapa tempat di negeri ini.

Katanya, ia tidak seharusnya berlaku kerana daging seperti itu hanya sesuai dijual di tempat tertentu seperti pasar raya yang mempunyai kemudahan sejuk beku.

"Daging beku import yang sudah terdedah bagi tempoh lama serta berulang-ulang seperti di gerai atau kaki lima tidak sesuai dijual kerana dikhuatiri sudah dijangkiti bakteria.

"Oleh itu, Kabinet bersetuju hanya pasar raya yang mempunyai kemudahan sejuk beku dibenarkan menjual daging itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri hari ini.

Sebuah akhbar tempatan mendedahkan ada peniaga di Sandakan dikesan menjual daging import beku di tempat terbuka. Ia membimbangkan penduduk kerana mudah dijangkiti bakteria.

Kebimbangan bertambah apabila disahkan daging beku yang dijual itu melebihi tempoh tujuh bulan dari tarikh mula dipasarkan.

Chong berkata, penduduk negeri ini tidak perlu bimbang kemungkinan sukar mendapat daging beku import berikutan arahan pengharaman itu kerana kebanyakan bandar atau pekan di Sabah mempunyai kemudahan sejuk beku.

Katanya, mesyuarat Kabinet bersetuju mengarahkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan arahan itu dipatuhi.

Dalam perkembangan lain, Chong berkata Kabinet bersetuju supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) meneruskan operasi menutup kafe siber yang menjalankan kegiatan itu secara haram.

Katanya, kerajaan serius menangani masalah itu dan akan memastikan hanya kafe yang mematuhi arahan dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan mengesan kegiatan itu banyak berlaku di bandar besar seperti Sandakan, Tawau, Penampang dan Kota Kinabalu.

"Kita akan memastikan hanya stesen internet dibenarkan beroperasi dan bukan kafe internet seperti sebelumnya," katanya.

Dua minggu lalu, kerajaan negeri mengumumkan pengharaman operasi kafe siber di Sabah dan hanya membenarkan pembukaan stesen internet.



[ Menu Utama ]