KUALA LUMPUR, Khamis: Semua jabatan
kerajaan serta agensinya diarah menggunakan bahan, barangan dan
perkhidmatan tempatan dalam semua perolehan kerajaan, berkuat kuasa
serta merta.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Samsudin Hitam, berkata
arahan itu turut meliputi badan-badan berkanun Persekutuan, pihak
berkuasa kerajaan tempatan dan syarikat milik kerajaan.
Beliau menegaskan, tindakan sewajarnya akan diambil ke atas agensi yang
gagal mematuhi peraturan baru itu dan pegawai bertanggungjawab boleh
dikenakan tindakan surcaj.
“Perunding yang dilantik mengendalikan projek kerajaan tetapi gagal
mematuhi peraturan ini juga akan disenaraihitamkan dan tidak akan
dipertimbangkan dalam projek kerajaan lain.
“Bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan hendaklah digunakan
sepenuhnya oleh agensi dalam perolehan masing-masing. Perolehan melalui
import hanya akan dipertimbangkan setelah dipastikan ia tidak boleh
diperoleh secara tempatan,” katanya dalam pekeliling terbaru dikeluarkan
di sini.
Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2002 itu diedarkan kepada
semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan Persekutuan,
setiausaha kerajaan negeri, ketua badan berkanun Persekutuan, Pihak
Berkuasa kerajaan Tempatan dan ketua eksekutif syarikat kerajaan.
Samsudin menjelaskan bahan dan barangan tempatan adalah bahan serta
barangan yang dibuat atau dikeluarkan oleh pengilang tempatan melalui
aktiviti pengilang.
Beliau berkata, kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri (Miti) hendaklah diperoleh terlebih dulu jika bahan atau
barangan import bernilai melebihi RM50,000 hendak digunakan.
Katanya, perolehan bahan/barangan siap yang diimport dan berada dalam
negara (ex-stock) bernilai melebihi RM50,000 memerlukan kelulusan
Kementerian Kewangan terlebih dulu sebelum perolehan bahan/barangan itu
dibuat.
“Bahan/barangan yang bernilai melebihi RM200,000 bagi satu kontrak yang
dibenarkan diimport hendaklah dilaksanakan secara Free On Board (FOB),”
katanya.
Samsudin berkata, agensi hendaklah memastikan spesifikasi yang
disediakan bagi semua perolehan dan hendaklah bersesuaian serta
berlandaskan bahan/barangan tempatan yang berasaskan Standard Malaysia
(MS) seperti dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM).
Katanya, jika tiada MS bagi bahan/barangan yang berkenaan, spesifikasi
jabatan yang disediakan oleh satu Jawatankuasa Penyediaan Spesifikasi
atau standard antarabangsa lain yang sesuai hendaklah digunakan.
Bagi perolehan kerja yang diuruskan secara pasang siap, reka dan bina
atau secara konvensional melalui perunding, agensi kerajaan hendaklah
memastikan dasar serta peraturan yang ditetapkan itu dipatuhi sepenuhnya
dan dijadikan sebagai syarat mandatori dalam dokumen tender.
Malah, agensi juga dikehendaki memastikan perunding yang dilantik
memasukkan syarat penggunaan bahan/barangan tempatan dalam spesifikasi
mereka.
Beliau berkata, bagi memudahkan rujukan dan memastikan bahan/barangan
tempatan digunakan sepenuhnya, Kementerian Kewangan sudah melantik Ikram
QA Services Sdn Bhd (Ikram QA) dan Sirim QA Services Sdn Bhd (Sirim QAS)
bagi menjalankan pengujian, persijilan serta penyediaan senarai bahan/barangan
tempatan yang sudah disahkan.
Semua senarai itu boleh diperoleh melalui Ikram QA dan Sirim QAS yang
dikemas kini dari semasa ke semasa. Agensi dikehendaki menggunakan
barangan yang disenaraikan oleh dua syarikat terbabit.
Katanya, perolehan perkhidmatan perunding hendaklah di kalangan firma
perunding tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan. Perolehan
perkhidmatan perunding dari luar negara hanya boleh dilakukan setelah
agensi mendapat kelulusan kementerian itu.
“Perolehan perkhidmatan bukan perunding hendaklah daripada syarikat atau
kontraktor tempatan yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan saja,”
katanya
[ Menu Utama ]