JOHOR BAHRU, Khamis: Agensi kerajaan
diingatkan tidak menjadikan program Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK)
sebagai pentas pertandingan merebut gelaran atau hadiah, sebaliknya
meningkatkan mutu kerja untuk lebih berdaya saing.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata program KMK perlu
dilihat sebagai usaha menyedarkan kakitangan mewujudkan sebuah
organisasi terbaik dalam segala aspek kerana kejayaan itu menjadi
tanggungjawab bersama.
“Setiap organisasi yang cemerlang dan berjaya adalah hasil usaha setiap
warganya dan bukan kepada seseorang ketua atau pemimpin. Organisasi akan
lebih cemerlang jika setiap kejayaan diusahakan secara berkumpulan.
“Di sini, dapat kita hargai kepentingan KMK dalam menanamkan semangat
bekerja secara berpasukan,” katanya berucap pada majlis perasmian
Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja Ke-19 Di Sektor Awam Tahun
2002, di Hotel Eden di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ayub Mion dan Pengarah
Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Datuk Dr Zulkarnain Awang.
Justeru, Abdul Ghani berkata, program KMK boleh membawa banyak kebaikan
jika ia dijadikan sebagai budaya kerja dan tidak terbatas kepada suatu
penampilan di peringkat konvensyen saja.
Beliau berharap, semua organisasi yang terbabit, menjadikan program KMK
sebagai asas kukuh dan konsisten kepada program bagi meningkatkan mutu
kerja secara terancang dan berkesan.
“Amatlah malang dan rugi, jika penampilan kumpulan KMK di peringkat
konvensyen ini tidak dimanfaat secara menyeluruh dan berkesan sama ada
di peringkat perancangan atau operasi kerja,” katanya.
Beliau berkata, KMK adalah satu daripada alat pengurusan bagi
meningkatkan mutu dan produktiviti organisasi dan pendekatan itu perlu
digunakan sepenuhnya supaya dapat membantu ke arah kesempurnaan kerja
harian.
Katanya, KMK juga perlu disesuaikan dengan alat bagi meningkatkan
pengurusan terkini supaya ia dapat dilaksana secara lebih sistematik dan
berkesan berasaskan ilmu serta amalan yang digariskan.
Menteri Besar turut menyarankan semua program KMK tidak dihadkan kepada
kumpulan sokongan dan perlu membabitkan ketua jabatan supaya matlamat
dan falsafah asal program terbabit dapat dicapai dan memberi kesan
kepada seluruh anggota jabatan.
Abdul Ghani turut menggesa agensi kerajaan supaya melaksanakan inovasi
dalam Perkhidmatan Awam kerana ia mencerminkan daya usaha dan kreativiti
di kalangan anggotanya.
[ Menu Utama ]