BACHOK, Khamis: Kementerian Pertanian
sedang berusaha melahirkan sejuta petani moden berpendapatan lumayan di
negara ini dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.
Menterinya, Datuk Effendi Norwawi, berkata setakat ini kira-kira 200,000
petani didedahkan dengan penggunaan kaedah pertanian terkini.
Sektor itu kini paling berjaya kerana setakat ini sudah melahirkan
20,000 petani komersial yang menepati piawaian ISO 9002.
Mereka adalah kelompok petani komersial yang berjaya melaksanakan amalan
pertanian moden dalam semua aspek, bermatlamat mengeluarkan hasil
pertanian secara produktif dan bermutu.
Beliau berkata, cara terbaik mengubah sikap petani ialah mengamalkan
sistem pertanian moden menerusi projek pertanian berkelompok yang
memudahkan pelbagai bantuan disalurkan, di samping mengusahakan kawasan
tanaman lebih luas termasuk menebus guna tanah terbiar.
"Menerusi penyertaan program itu petani menikmati pelbagai perkhidmatan
seperti nasihat, kepakaran teknikal dan bantuan kewangan,” katanya
kepada pemberita selepas membuat lawatan ke tapak projek pengeluaran
makanan asas ladang komersial sayur-sayuran dan buah-buahan Lembaga
Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Kampung Permatang Pasir, Gunung,
dekat sini, hari ini.
Effendi juga menyaksikan penyampaian cek pinjaman kewangan daripada
Pengurus BPM negeri, Mohd Yunus Shukor kepada peserta projek pertanian
komersial, Rizal Abdul Rahim; dan penyampaian surat perjanjian pembelian
hasil pertanian ladang itu oleh Fama antara ketua peserta ladang
berkenaan, Ramli Genda dengan Ketua Pengarah Fama, Datuk Wan Ibrahim Wan
Daud.
Sebelum itu, beliau melawat projek tanaman padi Ladang Merdeka di Mulong
dan pada sebelah petang melepaskan 2,500 benih ikan tilapia merah ke
dalam tali air Sungai Binjal, Bachok.
"Kementerian sedia memberi bantuan menerusi 13 agensinya termasuk
bantuan kewangan menerusi BPM untuk melaksanakan projek berkelompok.
"Banyak peluang untuk petani mendapat kemudahan jika menyertai skim
tanaman berkelompok seperti skim kelompok tanaman padi, buahan-buahan
dan sayur-sayuran, skim kelompok tanaman kekal pengeluaran makanan dan
skim dusun nukleus," katanya.
Mengenai projek ladang sayur-sayuran dan buah-buah yang dikendalikan
Kada di Permatang Pasir, di sini, beliau berkata, ia menjadi contoh
terbaik apabila berjaya dilaksanakan dengan memajukan tanah terbiar.
Katanya, kawasan seluas 103 hektar itu dulunya tanah terbiar dan kini
dimajukan dengan pelbagai tanaman seperti tembikai, lada, kacang panjang,
bendi dan mentimun oleh lebih 40 peserta.
“Menerusi projek ini hasil yang dijangka diperoleh dalam tempoh lima
tahun perancangannya dianggarkan bernilai RM2.4 juta,” "katanya
[ Menu Utama ]