RANTAU PANJANG, Jumaat :
Kementerian Pertanian meminta jabatan dan agensinya mempelbagaikan
kegiatan ekonomi dalam usaha membantu kerajaan melahirkan petani moden
dan bertaraf komersial.
Menterinya, Datuk Effendi Norwawi, berkata usaha itu adalah selaras
hasrat kementerian dalam menambah sumber pendapatan petani, di samping
melatih mereka menjadi usahawan berjaya.
“Mulai sekarang, kita mahu jabatan dan agensi Kementerian Pertanian
mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya golongan sasar tidak hanya
tertumpu kepada satu bidang kerja seperti menanam padi atau
sayur-sayuran.
“Di samping menanam padi atau bercucuk tanam, kita mahu petani turut
melakukan kegiatan lain seperti menternak lembu, itik, ayam atau ikan
dengan mengusahakan tanah terbiar.
“Kaedah ini dilihat dapat menambah sumber pendapatan mereka dan sekali
gus bergelar usahawan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas melawat
ladang ternakan petani Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di
Kampung Bukit Pak Junuh dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu, 18 petani dari enam jajahan kendalian Kada iaitu Kota
Bharu Utara, Kota Bharu Selatan, Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir
Puteh menerima lembu menerusi program bantuan ternakan.
Effendi berkata, matlamat kerajaan untuk melihat petani bebas daripada
belenggu kemiskinan tercapai jika usaha itu dilaksanakan
bersungguh-sungguh, terutama dalam mematuhi garis panduan ditetapkan
kementerian.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan petani yang mempunyai tanah tetapi
tidak diusahakan supaya memajukannya secara berkelompok dengan petani
lain bagi menambahkan pendapatan.
“Kalau boleh, muafakat dengan petani lain dan hubungi jabatan atau
agensi Kementerian Pertanian untuk menyertai program berkelompok yang
disyorkan.
“Kita ada teknologi mencukupi termasuk membantu petani yang berminat
menyertai program ini membuat pinjaman bank, manakala bantuan pemasaran
dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama),” katanya.
[ Menu Utama ]