Bantuan khas untuk lulusan pertanian
Berita Harian, 25 Ogos 2002


KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian mengumumkan penubuhan pakej bantuan khas kepada lulusan pertanian dalam usaha menjana pertumbuhan sektor pertanian sekali gus meningkatkan pengeluaran bahan makanan negara yang dianggarkan bernilai RM81.5 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2005.

Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi ketika mengumumkannya, berkata pakej bantuan itu yang dikhususkan kepada mereka yang memiliki kemahiran seperti lulusan institut pertanian sudah pun bermula dengan 318 graduan lulusan Institut Pertanian Semenanjung Malaysia (IPSM) sebagai kumpulan pertama yang menyertainya.

“Mereka yang menerima tawaran ini akan menjalani program sebagai usahawan yang komprehensif selain didedahkan dengan penggunaan teknologi terkini,” katanya selepas Majlis Konvokesyen ke 20 IPSM di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini semalam.

Effendi berkata, dengan kedu-dukan sektor pertanian sebagai industri ketiga terpenting nega-ra, pakej bantuan ini diharap da-pat membantu melahirkan usahawan pertanian berjaya.

“Mereka akan diberi sebidang tanah di lokasi yang sudah dikenal pasti, untuk dimajukan, bantuan teknikal daripada 13 agensi dan pinjaman kewangan Bank Pertanian atau Tabung Ekonomi Belia Negara,” katanya.

Sejajar dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makanan utama dunia, sektor pertanian katanya perlu berubah wajah dari gaya tradisi atau konvensional kepada yang lebih bersifat moden, komersial dan berdaya saing.

Sehingga kini 70 peratus daripada sektor pertanian negara dijanakan oleh petani bersaiz kecil dan hanya 30 peratus saja diusahakan oleh petani komersial. Dalam tempoh lima tahun, kementerian berharap dapat mengubah ratio berkenaan selain mendedahkan mereka dengan teknologi terkini pertanian dan teknik pemasaran yang betul.

Effendi berkata, melalui pakej bantuan itu, sasaran utama tahun ini tertumpu kepada lima projek utama yang membabitkan 60 peserta dengan jumlah pinjaman bernilai RM1.8 juta. Walaupun pakej bantuan ini disasarkan kepada lulusan pertanian, kementerian masih membuka peluang kepada orang awam yang berminat.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan turut memperuntukkan RM40 juta bagi menaik taraf semua institut perta-nian di bawah kementerian berkenaan dari segi kandungan pembelajarannya supaya ia lebih berorientasikan perniagaan.

“Apabila kita bercakap soal pertanian sekarang, ia adalah perniagaan. Naik taraf ini juga disesuaikan bagi membolehkan ia mendapat pengiktirafan dari Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK). Dengan demikian, sijil mereka diterima dari segi kebolehan vokasional. Selepas dua tahun mereka boleh memasuki kolej pertanian yang sedang dalam perancangan,” katanya.



[ Menu Utama ]