Pakej pertanian khas untuk
belia
Utusan Malaysia, 25 Ogos 2002
KUALA LUMPUR
24 Ogos - Kementerian Pertanian hari ini mengumumkan pakej khas merangkumi
penyediaan kemudahan termasuk tapak tanaman dan pinjaman kewangan sehingga
RM30,000 bagi menarik golongan belia menceburi bidang pertanian.
Menterinya,
Datuk Mohd. Effendi Norwawi, berkata pakej itu, yang dikenali sebagai
Program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Program Pembangunan
Tanah Terbiar, menawarkan tempat kepada lepasan institusi pertanian dan
belia yang berminat.
"Kita tidak
menetapkan syarat-syarat kelayakan. Sesiapa yang berminat boleh menyertai
pakej ini dengan mendaftar di Jabatan Sumber Manusia dan Jabatan Pertanian,"
katanya.
Beliau berkata
demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas menyampaikan
sijil kepada 318 graduan Institut Pertanian dari seluruh negara dalam
majlis konvokesyen di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
Effendi
berkata selain menyediakan tapak pertanian dari peruntukan tanah di bawah
program tanah terbiar dan pembangunan tani oleh kementerian, peserta yang
mengikuti program itu akan juga akan dibantu dari segi bantuan teknologi
dan pemasaran.
"Kita akan
pastikan belia itu menjalani program usahawan yang komprehensif dan
menjalankan aktiviti pertanian dengan cara komersial dan moden dengan
menggunakan cara pengurusan terbaik, peralatan terkini dan perancangan
pemasaran dari awal lagi," katanya.
Satu lagi
program yang ditawarkan ialah Skim Khas Belia Tani anjuran bersama
Kementerian Pertanian dan Kementerian Belia dan Sukan.
Effendi
berkata pakej yang disediakan itu adalah satu usaha menarik minat golongan
belia menceburi bidang pertanian, kerana ia mampu memberikan pulangan
lumayan kepada mereka.
"Pada masa ini
golongan belia tidak berminat dengan bidang pertanian, tapi kita jamin,
bidang ini mampu memberi pulangan lumayan jika mereka rajin dan
bersungguh-sungguh mengusahakannya," katanya.
Katanya,
perkara itu telah terbukti dengan beberapa bekas pelajar institusi
pertanian yang menerima pendapatan sehingga RM6,000 hingga RM9,000 sebulan
dari hasil pertanian yang mereka usahakan.
"Lagipun,
sektor ini masih memerlukan tenaga orang muda kerana pada masa ini
sumbangan ekonomi sektor pertanian negara terdiri daripada petani
komersial berjumlah 30 peratus sahaja manakala 70 peratus adalah hasil
pertanian dari ladang tradisional," katanya.
Katanya,
keadaan itu perlu diubah dan pihaknya mensasarkan dalam jangka masa lima
tahun nisbah 70 peratus pertanian kecil itu juga akan dikomersialkan.
Effendi
berkata kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM40 juta untuk
menaiktarafkan 40 institut di bawah Kementerian Pertanian dari segi
kandungan dan akan disesuaikan supaya dapat diiktiraf di bawah Majlis
Latihan Vokasional Kebangsaan
[
Menu Utama ]
|