Sirim, IKIM berganding bahu majukan sijil halal
Berita Harian, 26 Ogos 2002

SIRIM Bhd dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan bekerjasama bagi memajukan standard pensijilan ‘Halal’, dengan matlamat menjadikannya standard global yang diguna pakai di seluruh dunia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sirim, Datuk Dr Mohd Ariffin Aton, berkata Malaysia, dengan mutu yang dimilikinya boleh merebut peluang menjadi negara pertama memperkenalkan standard ‘Halal’.

Langkah itu mungkin boleh dijadikan pendorong kepada pembangunan pasaran global bagi produk makanan halal yang ketika ini dianggarkan bernilai AS$50 bilion (RM190 bilion).

Ariffin berkata, Malaysia akan berusaha menjadi peneraju dalam standard ‘Halal’ kerana negara ini sudah meninggalkan negara seperti Jepun dan Jerman, yang begitu kuat dalam standard kejuruteraan, begitu juga dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Jika standard ‘Halal’ kita dirumuskan dengan baik dan negara lain pula menggunakannya, nama Malaysia akan terkenal kerana mereka akan menggunakan standard negara ini,” katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Lebih banyak negara menggunakannya, lebih baik lagi,” kata beliau.

Sirim, organisasi kebangsaan bagi standard dan mutu, ialah badan pensijilan kualiti untuk standard siri ISO 9000 yang menjadi salah satu kegiatan utamanya.

Ia sudah memberi pengiktirafan pensijilan ISO 9002 kepada 2,031 syarikat dan pensijilan ISO 9001 kepada 212 syarikat.

Ariffin berkata, Malaysia mempunyai prasarana standard yang baik dan pengalaman luas dalam pensijilan untuk memajukan standard ‘Halal’ yang diiktiraf.

Bagi memastikan standard itu tidak akan menjejaskan integriti, standard ‘Halal’ yang dicadangkan itu akan berasaskan kepada Codex, iaitu garis panduan yang sudah dipersetujui pada peringkat antarabangsa untuk makanan halal pada masa ini, katanya.

Beliau berkata Sirim dan IKIM sudah mengadakan perbincangan hampir setahun untuk menggabungkan konsep mutu dan nilai dalam Islam untuk cadangan standard ‘Halal’ itu.

Ariffin berkata, beliau akan mencadangkan kepada Jabatan Piawaian di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, untuk membentuk satu jawatankuasa bagi mewujudkan standard ‘Halal’.

Jawatankuasa dicadangkan itu yang terdiri daripada penyertaan wakil kerajaan, industri dan pengguna diharap dapat menghasilkan satu deraf standard sebelum akhir tahun ini bagi mendapatkan maklum balas orang ramai, kata beliau.

Kemudiannya, ia memerlukan sasaran dalam tempoh satu tahun bagi standard ‘Halal’ itu diperkenalkan, jelas beliau.

Ariffin berkata, cadangan standard ‘Halal’ akan membantu matlamat Malaysia menjadi pusat makanan halal, tanpa perlu mendapatkan persijilan agensi asing.

Beliau berkata organisasi asing yang ketika ini mendakwa mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa, mengambil peluang ke atas aspirasi Malaysia untuk menjadi pusat makanan halal dengan membangunkan pensijilan ‘Halal’.

“Mengapa harus kita biarkan mereka berbuat demikian sedangkan kita mempunyai semua kualiti,” katanya. – Bernama


[ Menu Utama ]