BATU PAHAT, Ahad – Pusat
pemprosesan ayam Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang dijangka
mula beroperasi awal tahun depan, mampu memproses antara 8,000 hingga
10,000 ekor ayam setiap empat jam untuk pasaran.
Pusat berkenaan yang dibangunkan dengan kos RM7 juta di Machap, Kluang
dijangka siap November ini dan mula beroperasi awal tahun depan.
Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Fuad Lajis,
berkata apabila siap kelak, pusat pemprosesan berkenaan akan mempunyai
peralatan termoden dan canggih.
"Kerja-kerja pembinaan pusat terbabit kini giat dilaksanakan. Mengikut
perancangan awal, ia dijangka siap Oktober ini, tetapi dianjakkan ke
November kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.
"Jika kerja pembinaan berjalan lancar, pusat berkenaan dijangka dapat
memulakan operasi sepenuhnya menjelang awal tahun depan," katanya,
ketika dihubungi, di sini.
Beliau berkata, kelengkapan moden dan canggih yang disediakan di pusat
berkenaan membolehkan ia memiliki ciri nilai tambah untuk kerja
memproses ayam secara lebih cekap.
Fuad berkata, PPNJ juga merancang menambah syif bekerja (empat jam) di
pusat berkenaan bagi meningkatkan pengeluarannya untuk menampung
permintaan terhadap ayam segar.
"Bagaimanapun, keputusan menambah syif bekerja itu akan hanya dibuat
jika permintaan terhadap ayam proses keluaran pusat berkenaan melebihi
keupayaan," katanya.
Beliau berkata, pembinaan pusat pemprosesan ayam termoden itu mampu
memberi manfaat serta kemudahan kepada penternak di kawasan sekitar.
"Apabila siap kelak, pusat ini memberi peluang serta pilihan lebih
meluas kepada penternak di Johor untuk memasarkan hasil ladang mereka,"
katanya.
Sehubungan itu, katanya, penternak perlu merebut serta memanfaatkan
peluang daripada pusat pemprosesan itu untuk meningkatkan taraf hidup
masing-masing.
[ Menu Utama ]