KOTA BHARU, Isnin:
Seorang lelaki cedera parah pada kedua-dua lengan selepas digigit beruk
jantan peliharaannya yang dikatakan mengamuk di Kampung Renok Baru, Gua
Musang, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa, Ariffin Kasim, 52, yang
pada mulanya dihantar ke Hospital Gua Musang terpaksa dipindahkan ke
Hospital Kota Bharu (HKB), pada malam kejadian berikutan pembuluh darah
di lengannya, putus.
Ariffin berkata, kejadian berlaku ketika beliau mengarahkan beruk itu
memetik petai dan kelapa kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Beliau berkata, ketika memanjat pokok petai, beruk itu dikatakan
mengamuk dan menyerangnya sambil menggigit kedua-dua lengannya dan
terpaksa bergelut beberapa minit dengan haiwan itu.
"Walaupun cedera, saya sempat mengambil tali dan mengikat beruk itu pada
pokok kelapa sebelum mendapatkan bantuan jiran serta memaklumkannya
kepada isteri saya, Lijah Awang, 50," katanya ketika ditemui di Wad
Cempaka HKB, di sini, hari ini.
Semalam, Ariffin menjalani pembedahan selama empat jam untuk menyambung
pembuluh darah yang putus akibat gigitan beruknya itu.
Ariffin berkata, beruk itu dibeli setahun lalu daripada saudaranya di
Tumpat, bertujuan memanjat pokok kelapa dan petai.
"Saya akan meneruskan pekerjaan ini kerana ia sumber pendapatan utama
keluarga.
Bagaimanapun, saya akan meminta kerjasama Jabatan Haiwan untuk membuang
taring beruk itu bagi mengelak digigit pada masa depan," katanya
[ Menu Utama ]