ALOR GAJAH: Seorang pemuda
meninggal dunia selepas tiga hari berada dalam keadaan kritikal
dipercayai terlanggar sekumpulan kerbau di Jalan Lubok Redan menuju ke
Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini, kelmarin.
Pemuda itu, Hamidon Ismail, 20, dari Rantau Panjang meninggal dunia di
Hospital Melaka pada kira-kira jam 1.45 petang selepas cedera parah di
kepala.
Ketua Trafik dan Kententeraman Awam negeri, Superintendan Onn Ahmad,
berkata Hamidon yang menunggang motosikal dipercayai melanggar
sekumpulan kerbau yang melintas di Kampung Pulau sewaktu mangsa dalam
perjalanan pulang ke rumahnya, Sabtu lalu.
Katanya, Hamidon dibawa ke Hospital Melaka oleh pengguna jalan raya yang
melihat mangsa terdampar di jalan berkenaan.
Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Daerah Alor Gajah (MDAG), Idris
Haron, dukacita dengan kejadian berkenaan berikutan sikap segelintir
pemilik kerbau membiarkan haiwan milik mereka berkeliaran.
Menurutnya, pelbagai tindakan tegas sudah dilaksanakan seperti menaikkan
kadar kompaun sebanyak RM500 kepada pemilik degil tetapi tidak berkesan.
Katanya, MDAG sentiasa mengambil tindakan tegas yang konsisten dalam
memastikan pemilik haiwan berkenaan tidak membiarkan sewenang-wenangnya
haiwan peliharaan mereka mengganggu pengguna jalan raya.
“Mereka seharusnya memastikan keselamatan awam terjamin kerana
kebanyakan haiwan ini gemar berkeliaran pada waktu malam di jalan raya
yang sunyi dan gelap,” katanya.
“Malah haiwan ini sentiasa menjadi pembunuh senyap kepada pengguna
jalanraya dan meminta penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati
bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.