KOTA KINABALU, Rabu –
Sebahagian besar daripada kempen memerangi rasuah yang dijalankan Badan
Pencegah Rasuah (BPR) kini bertumpu kepada sektor perkhidmatan awam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkipli Mat Noor, berkata langkah itu diambil
bagi memastikan gejala mungkar seperti penyelewengan dan salah guna
kuasa yang sering dikaitkan dengan kakitangan kerajaan dapat dibanteras.
"Langkah ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan sebuah
masyarakat Malaysia yang bermoral dan beretika sepenuhnya menjelang
2020," katanya ketika ditemui selepas menutup Seminar Pendidikan
Pencegahan Rasuah 2002 di Nexus Karambunai Resort dekat sini, hari ini.
Seminar tiga hari itu yang bermula Isnin lalu, disertai 173 guru
kaunseling dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Ia
dianjurkan bersama oleh BPR dan Kementerian Pendidikan.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Hamdan Mohamad.
Zulkipli berkata, selain sektor perkhidmatan awam, sebanyak 30 peratus
lagi tumpuan kempen adalah di sektor swasta manakala bakinya membabitkan
golongan remaja dan pelajar.
Katanya, bilangan pelajar di negara ini mencapai hampir satu perempat
atau kira-kira lima juta berbanding jumlah penduduk negara ini yang
sudah melebihi 23 juta orang.
"Justeru adalah amat tepat bagi BPR turut menumpukan kegiatan pendidikan
memerangi rasuah ini terhadap golongan pelajar sekolah seluruh negara,"
katanya
Zulkipli berkata, seminar yang diadakan itu adalah siri kedua diadakan
di negara ini dengan matlamat memupuk nilai murni serta mencegah gejala
tidak sihat khususnya rasuah, daripada berlaku di sekolah.
Katanya, siri pertama seminar itu diadakan di Hotel Summit Petaling Jaya
dan dihadiri kira-kira 400 guru kaunseling dari Selangor, Johor dan
Negeri Sembilan.
Beliau berkata, siri ketiga seminar itu akan diadakan di Pahang, Oktober
ini, membabitkan guru kaunseling dari negeri itu, Terengganu dan
Kelantan.
"Setakat ini, komitmen dan kesungguhan peserta yang menyertai seminar
ini memberangsangkan. Diharapkan kerjasama antara BPR dan Kementerian
Pendidikan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, BPR sentiasa bersedia membantu
mana-mana pihak membanteras kegiatan penyelewengan dan rasuah termasuk
membabitkan kes pemilikan kad pengenalan bermutu tinggi atau Mykad.
Katanya, bantuan itu tidak tertakluk kepada satu-satu pihak tapi
meliputi semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan yang memerlukan
perkhidmatan mereka.
Beliau mengakui BPR menerima banyak permintaan atau aduan daripada
pelbagai pihak bagi menyiasat kes-kes yang disyaki mempunyai unsur
rasuah dan penyelewengan.
"Aduan seperti ini bukan perkara baru pada BPR. Kita akan sentiasa
berusaha untuk memberi bantuan termasuk menjalankan penyiasatan secara
berterusan," katanya.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abdul Ghapur Salleh, Isnin
lalu, dilaporkan menggesa BPR menyiasat kes warga asing memiliki kad
pengenalan bermutu tinggi atau MyKad di negeri ini.
[ Menu Utama ]