SEMPORNA, Rabu: Petani, penternak dan
nelayan di negeri ini perlu mengubah sikap dan pemikiran jika ingin
melihat taraf ekonomi mereka meningkat dan terus maju.
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Keusahawanan negeri, Datuk Nasir Tun
Sakaran, berkata mereka yang enggan berubah tergolong antara masyarakat
tidak ingin maju dan berjaya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap
pembangunan ketiga-tiga golongan ini dan berharap mereka bersedia
menyahut saranan itu.
“Mereka yang sedia berubah adalah golongan yang sentiasa inginkan
pembangunan dan pembaharuan. Kita harap golongan petani, penternak dan
nelayan di negeri ini sedia berbuat demikian sepanjang masa,” katanya
ketika melancarkan Dialog Keusahawanan Peringkat Daerah di sini, semalam.
Program itu dianjurkan kerajaan negeri dan disertai 100 usahawan sekitar
Daerah Semporna.
Ia dibimbing pakar daripada Sirim Berhad, Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan (Fama), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MardiI), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat dan
Perbadanan Pinjaman Sabah.
Program bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan Bumiputera mengenai
kemudahan bantuan pinjaman yang disediakan agensi kerajaan disamping
memberikan peluang kerajaan mendapat maklum balas mengenai masalah
mereka.
Hadir sama Pegawai Daerah, Suhaili Riman dan Setiausaha Politik Nasir,
Datuk Sapari Amir serta beberapa pemimpin peringkat masyarakat daerah.
Nasir berkata, kerajaan negeri akan terus menganjurkan siri bimbingan
keusahawanan kepada petani, penternak dan nelayan, agar dapat menjadikan
bidang itu sebagai kerjaya menguntungkan.
Katanya, meskipun kerajaan melipatgandakan usaha membangunkan segenap
sektor namun usaha membangunkan kawasan luar bandar tetap menjadi agenda
utama kerajaan khususnya di negeri ini.
Dalam pada itu, Nasir berkata, siri Dialog Keusahawanan yang dianjurkan
kementeriannya dengan kerjasama pejabat daerah bertujuan memberi
pendedahan kepada usahawan Bumiputera mengenai pelbagai kemudahan yang
disediakan.
Katanya, usahawan di negeri ini juga perlu mengambil pendekatan
berinovatif dan kreatif serta mempunyai kesanggupan bertahan dalam
pasaran yang semakin kompetitif.
“Usahawan Bumiputera perlu memperkemaskan daya saing bagi membolehkan
mereka berdaya tahan dalam perniagaan yang diusahakan,” katanya.
Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Senalang berkata,
tiada jalan pintas mencapai sesuatu kejayaan tanpa usaha gigih selain
komited dalam mengendalikan sesuatu perniagaan dan industri.
[ Menu Utama ]