RM200j lahirkan tenaga mahir sektor pertanian
Berita Harian, 2 Ogos 2002

KUALA LUMPUR, Khamis: Kabinet semalam meluluskan peruntukan RM200 juta untuk melaksanakan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (NASTP) dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam sektor pertanian.

Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi, berkata program itu bertujuan memperluaskan lagi daya saing dan produktiviti tenaga kerja dalam perniagaan pertanian dan makanan.

Sehubungan itu, katanya, Kolej Latihan Kemahiran Pertanian bernilai RM130 juta akan dibina menerusi NASTP.

Beliau berkata, kolej yang akan dibina berhampiran Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) di Bukit Tangga, Changloon, Kedah, menawarkan pengajian peringkat diploma dan diploma lanjutan serta dijangka memulakan operasi pada 2004.

Katanya, pengambilan pertama akan membabitkan 400 pelajar sepenuh masa dan 800 pelajar separuh masa manakala pengambilan penuh 4,800 pelajar akan dibuat pada pada 2006.

“Kolej ini akan menawarkan kursus dan pengajaran latihan amali pertanian dan latihan pembangunan usahawan termasuk latihan pengurusan dan perniagaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Effendi berkata, penubuhan kolej itu selaras hasrat untuk menjadikan negara ini pengeluar dan pengeksport barang makanan menjelang 2010.

“Negara memerlukan kira-kira 300,000 tenaga mahir sebelum 2010, termasuk 10,000 tenaga penyelia, 10,000 tenaga pengurusan dan eksekutif,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan kolej itu tertakluk kepada Akta dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan program pengajarannya menggunakan modul pembangunan pertanian Australia dan Belanda, dua negara yang maju dalam bidang pertanian.

Menurutnya, kolej itu memberi peluang pelajar menyertai pengajian dalam sektor pertanian selepas tingkatan tiga dan lima.

Selain itu, katanya, RM40 juta disediakan untuk menaik taraf 42 institut pertanian di seluruh negara, kurikulum pembangunan (RM20 juta) dan RM10 juta bagi pembangunan teknologi dan komunikasi maklumat di Pusat Latihan Pertanian Kebangsaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sektor perladangan dan pertanian tidak terjejas berikutan kepulangan ramai pendatang tanpa izin menerusi program pengampunan yang berakhir semalam.

Beliau berkata, ini kerana Kabinet memutuskan sektor perladangan diberi kelonggaran menggunakan khidmat pekerja asing.


[ Menu Utama ]