JOHOR BAHRU, Khamis:
Kerajaan akan mengedarkan surat tawaran atau opsyen Sistem Saraan
Malaysia (SSM) kepada hampir sejuta kakitangan perkhidmatan awam mulai
Oktober depan.
Menerusi surat itu, kakitangan perkhidmatan awam diberi peluang memilih
SSM atau kekal di bawah Sistem Saraan Baru (SSB).
Bagaimanapun Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, menggesa
kakitangan awam memilih SSM kerana ia lebih baik dan menggabungkan
beberapa perubahan berbanding SSB.
“SSM seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
Julai lalu bukanlah satu proses bagi semakan gaji sebaliknya satu
penambahbaikan kepada sistem sekarang,” katanya selepas majlis sambutan
Hari Kualiti dan Anugerah Khidmat Cemerlang Universiti Teknologi
Malaysia (UTM) di Dewan Sultan Iskandar di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor UTM, Datuk Prof Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali
dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Dr Azraai Kassim.
Pada majlis itu, kira-kira 100 kakitangan pentadbiran dan akademik UTM
menerima Anugerah Khidmat Cemerlang dan Anugerah Kepujian Universiti.
Pada 30 Julai lalu, Dr Mahathir mengumumkan SSM yang akan menggantikan
SSB mulai 1 November depan, memberi lebih banyak faedah terutama bagi
meningkatkan kecekapan dan pengetahuan serta peluang pengembangan
kerjaya kepada kakitangan awam.
Menerusi SSM, penilaian kecekapan kakitangan dibuat melalui peperiksaan
atau kursus yang diwajibkan bagi menentukan kemajuan kerjaya dan gaji
tahunan, selain laporan prestasi serta pengakuan ketua jabatan.
SSM adalah dasar ketiga diperkenalkan kerajaan selepas SSB yang
diperkenalkan pada 1992 bagi menggantikan skim perkhidmatan di bawah
laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet sejak 1976.
Mengulas lanjut mengenai pengedaran borang SSM itu, Samsudin berkata
kerajaan masih membenarkan mereka yang masih kekal mengikut Sistem
Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet membuat pilihan berubah ke SSM
walaupun selepas skim baru itu dilaksanakan.
“Kerajaan memberi peluang yang cukup bagi setiap kakitangan awam
menentukan demi kebaikan dan masa depan masing-masing,” katanya.
Mengenai dakwaan ramai kakitangan awam masih kurang jelas mengenai SSM,
Samsudin berkata, pada masa ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang
mengatur perjumpaan di semua negeri dan kementerian bagi menjelaskan
secara terperinci skim itu.
“Langkah itu penting bagi memastikan kakitangan awam faham mengenai SSM
sekiranya memilihnya. Malah pentadbir juga perlu faham dengan baik bagi
mengelak kesilapan,” katanya.
Mengenai saranan Cuepacs yang mahu kadar kenaikan gaji RM15 bagi
kumpulan sokongan ditambah, Samsudin berkata, kerajaan harus dibenarkan
melaksanakan SSM dulu bagi melihat sejauh mana keberkesanannya.
“Saranan Cuepacs ada asasnya tetapi mereka kena tunggu dulu... biarlah
SSM dilaksanakan November depan.
“Malah, SSM bukan semakan gaji secara menyeluruh tetapi hendak
menambahbaikan SSB serta memperbaiki kelemahan sistem sedia ada demi
kepentingan kakitangan perkhidmatan awam,” katanya.
[ Menu Utama ]