Tengah: Kuching batu ditemui mati
Berita Harian, 30 Ogos 2002


SEREMBAN, Khamis – Seekor kucing batu atau nama saintifiknya, Prioriailurus bengalensis, dijumpai mati oleh orang ramai di tepi jalan ke Taman Permai di sini, pagi ini.

Kucing batu berwarna perang kekuningan dan mempunyai tompok bujur hitam itu luka parah di kepalanya, dipercayai dilanggar kenderaan.

Seorang pengguna jalan raya yang prihatin dengan nasib kucing batu itu yang menemuinya di tepi jalan kira-kira jam 8 pagi ini, segera membawa bangkainya ke pejabat Berita Harian di sini.

Beliau yang enggan dikenali berkata, kucing itu dipercayai datang dari kawasan belukar berhampiran.

Renjer Jabatan Perhilitan, Azizi Wahab, yang datang ke pejabat Berita Harian selepas dihubungi, mengesahkan haiwan itu sebagai kucing batu betina yang dipercayai berusia kira-kira tiga tahun.

Katanya, kucing itu yang dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 biasanya hidup berpasangan.

"Baru-baru ini, seekor kucing yang sama jenis mati dilanggar kenderaan, manakala tahun lalu, tiga ekor kucing ini ditangkap dalam sangkar, tetapi seekor daripadanya mati," katanya.

Kucing berkenaan kemudian dibawa ke Jabatan Perhilitan di sini.

Mengikut risalah Jabatan Perhilitan, kucing batu yang tergolong dalam keluarga Felidae boleh didapati di Semenanjung Malaysia, Russia, China, India, Myanmar, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Kucing betina akan melahirkan antara satu hingga empat ekor anak selepas bunting selama 56 hari.

Kawasan habitatnya ialah hutan, lalang dan rumput tinggi dan kadang-kadang berlindung di celah batu.

Bagaimanapun, penemuan kucing batu di kawasan bandar seperti Seremban tidak menghairankan kerana mengikut risalah itu, haiwan ini boleh ditemui di Kuala Lumpur kerana boleh hidup di kawasan bandar yang mempunyai belukar.

Haiwan ini hidup cergas pada waktu malam dan makan katak, reptilia kecil, burung dan mamalia kecil.

Azizi meminta penduduk di negeri ini yang menjumpai kucing batu, sama ada hidup atau mati menghubungi dan menyerahkannya kepada Jabatan Perhilitan.

Katanya, ini kerana mengikut Akta Perlindungan Hidupan Liar, sesiapa yang memburu, membunuh atau mencederakan atau menyimpan mana-mana bahagian kucing batu boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.


[ Menu Utama ]