Edisi Utara: Tempat babi jual sayur
Harian Metro, 3 Ogos 2002


BUTTERWORTH: Umat Islam yang mengunjungi pasar Jalan Market, di sini diminta berhati-hati apabila membeli sayur-sayuran berikutan dikhuatiri dicemari daging babi.

Ini kerana tempat penjualan daging babi itu, juga dijadikan sebagai tempat meletak sayur-sayuran bagi jualan pada waktu petang.

Tinjauan Harian Metro mendapati pada waktu pagi kawasan berkenaan menjadi tempat jualan daging babi, manakala pada sebelah petang menjadi tempat longgokan sayur-sayuran dari ladang yang dibawa pemborong.

Selain itu, air takungan yang berada di kawasan berkenaan turut digunakan peniaga terbabit untuk membasuh sayur dan peralatan penjualan daging babi seperti pisau dan alat timbang.

Seorang pekerja am, Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) yang enggan dikenali berkata, dia sedih apabila melihat ramai pengunjung Islam yang membeli sayur-sayur di situ tanpa menyedari ia dicemari najis babi.

“Setiap petang pemborong akan melonggokkan sayur-sayuran di atas meja dan lantai jualan daging babi sebelum menjual kepada pengusaha restoran dan individu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, selain itu, takungan air di situ turut digunakan peniaga untuk membasuh peralatan penjualan babi dan sayur-sayuran.

“Saya sudah memberitahu Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) dan MPSP namun keadaan masih berulang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Perkhidmatan dan Kaunseling, Sarjan Udara (B) Shamsut Tabrej Ismail Merican, berkata beliau menerima banyak rungutan daripada orang ramai mengenai perbuatan peniaga terbabit.

“Saya dapati kebanyakan sayur-sayuran dijualkan kepada pengusaha restoran dan individu yang terdiri daripada umat Islam,” katanya.

Katanya, kemungkinan pelanggan tidak menyedari kerana kegiatan penjualan daging babi hanya dilakukan pada waktu pagi, dan pada sebelah petang tempat berkenaan dijadikan tempat longgokan sayur-sayuran.

“Pihak berkuasa harus memastikan peniaga sayur dan daging babi tidak menggunakan takungan air yang sama kerana ia adalah haram di sisi Islam,” katanya.


©New Straits Times (M) Berhad


[ Menu Utama ]