Edisi Melaka/NS: Transformasi Pertanian
Harian Metro, 5 Ogos 2002


MELAKA: Transformasi Pertanian Melalui Teknologi Maklumat yang menjadi tema sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan tahun ini, menjadi teras utama kejayaan usaha pertanian masa kini dan akan datang.

Teras itu membabitkan penyertaan sektor swasta dalam pelaburan pertanian, modenisasi pertanian dengan penggunaan pelbagai peralatan dan teknik pertanian, penternakan dan perikanan terkini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri, Datuk Ibrahim Durum, berkata usaha yang berterusan jabatan dan agensi pertanian seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian membolehkan tranformasi pertanian berlaku di Melaka walaupun masih perlahan.

Sehubungan itu, katanya, disiplin yang tinggi dalam melaksanakan usaha pertanian, ternakan dan perikanan sesuai dengan kawasan yang terhad perlu dilakukan oleh pegawai jabatan atau agensi terbabit.

“Selain itu, jumlah pelaburan industri makanan dan makanan binatang di Melaka pada tahun lalu didapati memuaskan iaitu RM504.77 juta dengan membabitkan 46 kilang.

“Ini disebabkan, kebanyakan orang Melaka gemar menikmati pelbagai jenis makanan bukan saja yang diminati oleh rakyat tempatan, bahkan juga pelancong dari luar negeri dan negara ini,” katanya.

Menurut Ibrahim, keperluan makanan akan berterusan dan memerlukan tumpuan dan usaha yang bersungguh oleh jabatan dan agensi terbabit supaya rakyat di negeri ini dapat menikmati sepenuhnya hasil yang ada di Malaysia.

“Justeru itu, industri makanan menjadi daya tarikan pelancong di Melaka seperti Medan Ikan Bakar di Umbai dan Kuala Linggi, cencaluk, belacan, ikan asam pedas dan pelbagai masakan Portugis, Baba dan Nyonya.

“Oleh yang demikian, semua tempat yang sudah dikenal pasti menjadi tumpuan pelancong menikmati makanan di negeri ini perlu sentiasa dikemas kini supaya nama Melaka tidak tercemar dengan keadaan di kawasan terbabit,” katanya.


©New Straits Times (M) Berhad


[ Menu Utama ]