Syor bonus dua bulan untuk kakitangan setia
Berita Harian, 6 Ogos 2002

KANGAR, Isnin: Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam hanya diberikan kepada mereka yang taat kepada kerajaan.

Beliau berkata, ia kerana hanya kakitangan awam yang taat layak menerima imbuhan itu berbanding mereka yang menentang dasar kerajaan secara terbuka.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna kerajaan menghalang kakitangan awam menyokong mana-mana parti politik, sebaliknya mereka perlu mengikut perintah ketika menjalankan tugas.

“Dia hendak pangkah (undi) parti mana pun terpulang kepadanya, tetapi apabila bertugas, dia perlu melaksanakan dasar kerajaan dan tidak menentang secara terbuka termasuk berkempen di tempat kerja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) kepada 13 wakil pertubuhan bukan kerajaan di Perlis, di sini hari ini.

Menteri Besar juga berkata kerajaan negeri menyokong cadangan pemberian bonus dua bulan gaji kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, kakitangan awam juga perlu sedar bahawa tugas mereka ialah mentaati kerajaan semasa yang memerintah.

Mengenai cadangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail supaya Kangar dijadikan ’bandar jam’ sebagai identiti industri pelancongan, Shahidan berkata mesyuarat Exco kira-kira sebulan lalu bersetuju mengenainya.

Beliau berkata sebagai permulaan, semua masjid di negeri ini akan mempunyai menara jam masing-masing.

“Kita akan mulakan di masjid luar bandar hingga ke bandar sebagai lambang bahawa Islam mementingkan masa,” katanya.

Mengenai tempat lain, beliau berkata usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan peruntukan.


[ Menu Utama ]