KUALA LUMPUR, Isnin: Kod amalan mencegah
dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja akan dimasukkan dalam
peraturan Perintah Am untuk diguna pakai oleh agensi kerajaan tidak lama
lagi.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat beberapa pengubahsuaian
bagi memasukkan kod itu dalam Perintah Am. Ketika ini, kakitangan awam
yang terbabit dengan gangguan seksual hanya dikenakan tindakan
tatatertib kerana melanggar disiplin.
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil, berkata perbincangan mengenai kod itu sudah dibuat dan Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, pada dasarnya sudah bersetuju.
“Perintah Am yang ada tidak memasukkan kod amalan untuk mencegah dan
membasmi gangguan seksual di tempat kerja. Malah, tidak ada pengertian
gangguan seksual yang jelas dalam peraturan itu.
“Apabila kod itu dimasukkan dalam Perintah Am, tindakan lebih menyeluruh
dan tegas boleh dikenakan kepada mana-mana kakitangan awam yang terbabit
dengan gangguan seksual berbanding tindakan sekarang,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan kempen
kesedaran bagi mencegah, membasmi dan menangani gangguan seksual di
tempat kerja bagi pekerja wanita sektor swasta 2002 di Hotel Nikko.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Buruh, Tan Gaik Kwan dan
Presiden Persatuan Pegawai Perhubungan Perusahaan, Abdullah Ahmad Ismail.
Kempen sehari itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan
Keluarga, Persatuan Pegawai Perhubungan Perusahaan Kementerian Sumber
Manusia dan Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia.
Kod amalan untuk mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja
diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia pada 1999 bertujuan memberi
garis panduan kepada majikan mengenai penubuhan mekanisme dalaman pada
peringkat organisasi bagi menangani masalah itu.
Bagaimanapun, kod amalan berkenaan hanya diguna pakai oleh syarikat
swasta setakat ini.
Shahrizat berkata, pihaknya masih lagi berbincang dengan Kementerian
Sumber Manusia mengenai cadangan mewujudkan Akta Gangguan Seksual
berikutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya akta itu
diperkenalkan segera.
“Satu jawatankuasa teknikal antara kedua-dua kementerian juga sudah
dibentuk untuk mengkaji cadangan itu dan kita harap penggubalan akta itu
akan dibuat dalam masa terdekat ini.
“Apabila kajian itu siap, kita akan kemukakan draf itu kepada Pejabat
Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata, banyak perkara perlu diteliti, khususnya dari aspek
pelaksanaan bagi memastikan akta itu benar-benar dapat membela wanita
atau mangsa gangguan seksual.
Setakat ini, sebanyak 310 dilaporkan ke Jabatan Buruh dengan satu kes
membabitkan gangguan seksual ke atas pekerja lelaki. Pada masa yang sama,
12 ceramah membabitkan 5,400 peserta sudah diadakan manakala 10 kempen
kesedaran diadakan membabitkan lebih 3,000 majikan mengenai perkara itu.
“Kita juga mengadakan dua program bagi melatih pengendali kaunseling
untuk mengendalikan kes gangguan seksual di tempat kerja,” katanya yang
berpuas hati dengan sambutan sektor swasta terhadap kempen kesedaran itu.
[ Menu Utama ]