Mardi usahakan agropelancongan 300 hektar
Berita Harian, 6 Ogos 2002


MARDI adalah agensi kerajaan yang sudah tidak asing di negara ini kerana dikenali sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelidik, memaju dan mengembangkan teknologi pertanian dalam bentuk kejuruteraan pertanian.

Kini, Mardi maju setapak apabila mengusahakan projek berasaskan konsep pelancongan di kawasan seluas 300 hektar untuk dijadikan kawasan agropelancongan bagi tujuan pelancongan dan maklumat mengenai pertanian.

Bagi tujuan itu, kerajaan memberi peruntukan RM45 juta kepada Mardi dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RM-8) dan projek itu sudah dimulakan awal tahun ini.

Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Saharan Anang, yang ditemui baru-baru ini berkata, projek itu bertujuan memindahkan teknologi pertanian kepada golongan sasaran, terutama usahawan, orang ramai serta pelancong dalam dan luar negara.

Beliau berkata, selain memindahkan teknologi, agropelancongan juga bertujuan mendidik orang ramai mengenai kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertanian, pemuliharaan alam sekitar, menyediakan kawasan rekreasi dan memaksimumkan penggunaan tanah di stesen Mardi Serdang sesuai dengan konsep kawasan hijau.

Katanya, projek yang dimulakan awal tahun ini, dijangka memerlukan RM8 juta daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan, manakala bakinya untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan makmal penyelidikan.

“Memandangkan ibu pejabat Mardi berjiran dengan Putrajaya, pembangunan agropelancongan dilihat nilai tambah kepada konsep dan status Putrajaya yang disifatkan sebagai Bandar Dalam Taman.

“Di samping itu, taman ini bukan saja menjadi pusat rekreasi, malah sumber maklumat terkini mengenai pertanian kepada pengunjung,” katanya ketika memberi taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Jamalullail mengenai kemajuan pertanian negara, di ibu pejabat Mardi, baru-baru ini.

Pelan Agropelancongan Mardi yang dijangka siap pertengahan 2004 dilancarkan Seri Paduka sempena lawatan kerjanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah, Pusat Pembangunan Stesen Mardi, Dr Yahya Awang yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek itu berkata, taman itu mempunyai ladang kuda seluas 14 hektar, 32 hektar taman rekreasi, 50 hektar ladang herba, 30 hektar ladang pokok buah-buahan nadir, 50 hektar ladang ternakan, 45 hektar dusun buah-buahan, 30 hektar ladang sayur-sayuran dan masing-masing satu pusat maklumat serta pusat taman.

Buah-buahan nadir ialah jenis yang dibiarkan dalam keadaan separuh liar tanpa penjagaan sempurna, seperti buah sentul, salak dan asam jawa.

Melalui agropelancongan ini, pengunjung berpeluang mendengar, melihat, mencuba, merasa dan membawa pulang produk atau teknologi yang dihasilkan Mardi.

10 komponen agropelancongan yang dikenal pasti Mardi untuk dipromosikan iaitu:



l Ladang Herba

Ladang ini akan mempamerkan kepelbagaian dan koleksi tanaman herba tropika yang terulung di dunia. Malah tanaman herba yang ditanam dalam taman seluas 50 hektar itu akan disusun dalam sebuah taman landskap yang menarik untuk dijelajahi.

Tanaman yang ditanam merangkumi pelbagai jenis dan kategori serta disusun mengikut tabiat pertumbuhan, botani atau kegunaan dan khasiatnya.



l Ladang Buah Nadir

Pengunjung yang bertandang ke sini berpeluang mengenali dan mencuba rasa buah-buahan yang jarang ditemui. Ia akan memberi peluang terbaik kepada warga kota yang jarang menemui tumbuh-tumbuhan ini.

Ladang seluas 30 hektar ini akan menempatkan tidak kurang 40 jenis buah-buahan yang tergolong dalam kategori buah nadir.



l Ladang Buah-buahan

Dalam dusun ini, pengunjung dapat melihat sistem pengeluaran buah-buahan moden seperti pengeluaran kepadatan tinggi dan buah-buahan dalam struktur kalis serangga.

Pengunjung juga berpeluang melihat lebih dekat operasi pengeluaran beberapa jenis buah-buahan terpilih yang ada di stesen Mardi Serdang.



l Ladang Sayur-sayuran dan Bunga-bungaan

Aktiviti R&D Mardi Serdang bagi tanaman sayur-sayuran dan bunga-bungaan akan ditempatkan di kawasan ini.

Pengunjung yang melawat kawasan ini dapat melihat kepelbagaian sayur-sayuran dan bunga-bungaan serta sistem pengeluaran, termasuk yang ditanam dalam sistem pengeluaran terkawal.



l Ladang Ternakan

Ladang ini akan memberi gambaran kepada pengunjung akan aktiviti R&D Mardi dalam bidang ternakan dan antara tarikan yang dapat dilihat di sini ialah baka lembu yang dibangunkan Mardi (Brakmas dan Cherokee), biri-biri dan kambing, burung unta, rusa dan sistem pemeliharaan ayam kampung secara moden.



l Ladang Kuda

Ladang kuda seluas 14 hektar yang terletak di tepi laluan Ekspres Rail Link (ERL) dan Lebuhraya SKVE akan menambahkan kecantikan pemandangan bagi pengguna yang menggunakan kedua-dua sistem lalu lintas itu.

Apabila siap sepenuhnya, ladang ini akan dilengkapkan padang ragut, pondok kuda, sand paddock dan lain-lain kemudahan pemeliharaan kuda.

Malah, pengunjung akan berpeluang untuk menunggang kuda.



l Taman Rekreasi

Komponen utama taman seluas 32 hektar ini adalah tasik buatan yang bercirikan sebuah tasik semula jadi. Tasik ini dikelilingi trek, taman ekologi dan taman bunga serta pokok hiasan.

Pengunjung berpeluang beriadah di sini sambil menghayati keseimbangan alam sekitar dan sistem ekologi yang mapan.



l Pusat Perkhidmatan dan Maklumat Pengunjung

Pusat ini akan menempatkan pejabat pentadbiran dan penyelarasan aktiviti agropelancongan Mardi dan lain-lain perkara berkaitan pengurusan pelawat.

Ia juga akan mempunyai galeri pameran, tapak ekspo dan taman kanak-kanak.

Pengunjung boleh mendapatkan cenderamata dari kedai yang disediakan.



l Pusat Taman

Pusat ini akan mengeluar, mempamer dan menjual pokok hiasan dan lain-lain keperluan berkebun selain mendapatkan perkhidmatan pakar mengenai pengurusan dan penyelenggaraan tanaman hiasan dan landskap dari pusat ini.



l Inkubator Untuk Usahawan

Inkubator ini akan menyediakan maklumat usahawan yang melaksanakan proses peningkatan skala atau mengkomersialkan teknologi yang dijanakan Mardi.

Teknologi ini termasuklah teknologi pengeluaran pertanian, pemprosesan makanan, bioteknologi dan mekanisme pertanian.



Model agropelancongan lengkap yang dibangunkan oleh Mardi ini boleh digunakan sebagai rujukan kepada mereka yang berminat untuk membangunkan konsep sama.

Langkah itu mungkin merancakkan aktiviti itu, sekali gus membuka jalan kepada pembangunan kawasan yang lebih mesra alam tetapi masih kekal menarik untuk dikunjungi
.
 


[ Menu Utama ]