Tengah : Teknologi kunci kemajuan
pertanian
Berita Harian, 6 Ogos 2002
MELAKA, Ahad – Peladang, penternak dan
nelayan di Melaka diminta mengubah pemikiran dan berpandangan positif
dengan melaksanakan transformasi pertanian bagi memajukan bidang
masing-masing.
Ketua Menteri, Mohd Ali Rustam, berkata penggunaan teknologi adalah
kunci utama memajukan sektor pertanian.
Katanya, ia dijangka mampu mengatasi cabaran utama meningkatkan hasil
pertanian, ternakan dan perikanan ke tahap maksimum untuk keperluan
penduduk negeri ini tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan sumber
bekalan makanan dari luar.
Bagaimanapun, usaha transformasi pertanian moden tidak akan menjadi
kenyataan jika peladang, penternak dan nelayan tidak menunjukkan
kesungguhan.
“Saya percaya hanya mereka yang berjaya menggunakan teknologi pertanian
terkini dapat kekal dan meraih keuntungan hasil titik peluh sendiri,"
katanya.
"Walaupun penggunaan teknologi baru ini memerlukan modal yang banyak
pada peringkat awal, tetapi ia menjanjikan hasil lumayan pada masa akan
datang," katanya.
Pada tahun lalu, sektor pertanian negeri menyumbang 4.24 peratus kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka.
Mohd Ali berkata, dalam usaha kerajaan mencapai status negeri ekonomi
maju menjelang 2010, pembangunan sektor pertanian yang semakin mencabar
perlu dirancang secara teratur.
Katanya, kerajaan akan terus memberi tumpuan dalam bidang pertanian
kerana sebanyak 71.55 peratus kegunaan tanah di negeri ini masih tanah
pertanian, termasuk perhutanan, ternakan dan perikanan.
Beliau berkata, penurunan ketara peratus guna tanah sektor pertanian
kepada dua peratus saja berbanding sektor pembuatan sebanyak 28 peratus
serta 54 peratus bagi sektor perdagangan, runcit, restoran dan runcit,
ia tidak menjejaskan tumpuan kerajaan memajukan sektor pertanian.
Selain itu, Mohd Ali menasihatkan pengusaha dan pihak yang terbabit
dalam sektor pertanian memanfaatkan kajian dan penyelidikan, terutama
yang dilaksanakan oleh Mardi.
[ Menu Utama ]
|