JOHOR BAHRU, Ahad –
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri
memerlukan lebih ramai anggota Sukarelawan Pemantau Harga (SPH).
Pada masa ini, hanya kira-kira 1,000 orang yang kebanyakan suri rumah
menganggotai SPH.
Pengarah Bahagian Penguatkuasanya, Sulaiman Salam, berkata pihaknya
memerlukan lebih ramai anggota SPH bagi memantau harga barangan secara
menyeluruh.
"Setakat ini, anggota SPH sedia ada masih belum mencukupi sedang Johor
mempunyai lapan daerah.
"Johor adalah negeri yang besar dan memerlukan anggota SPH terutama suri
rumah yang kerap berurusan dengan pembelian barang sama ada di kedai
runcit, pasar raya besar, pasar malam, pasar pagi serta pasar tani.
"Fungsi SPH sebenarnya penting dalam mengenal pasti sama ada berlaku
sebarang perubahan harga secara mendadak, lebih-lebih lagi barang
kawalan," katanya di sini, hari ini.
Sulaiman berkata, anggota SPH menjadi mata dan telinga pada peringkat
akar umbi.
"Kita mengakui tidak cukup pegawai dan anggota kementerian bagi
memeriksa harga barangan pada setiap hari.
"Menerusi SPH, tindakan dan penguatkuasaan susulan boleh diambil
menerusi maklumat anggota SPH sendiri," katanya.
Sehubungan itu, Sulaiman berkata, sistem pelaksanaan dan pentadbiran SPH
agak longgar sekarang di samping membantutkan usaha memantau harga
barangan.
"Berikutan perkara itu, kementerian akan membentuk satu jawatankuasa
pada peringkat lebih kecil supaya SPH berfungsi dengan baik.
"Menerusi jawatankuasa kecil itu, setiap ketua SPH akan memberi laporan
di peringkat daerah sebelum disalurkan pada ibu pejabat di Johor Bahru
bagi tindakan lanjut," katanya.
[ Menu Utama ]