Sabah/Sarawak : Sarawak berpotensi jadi pengeluar hasil pertanian organik
Berita Harian, 7 Ogos 2002

KUCHING, Selasa – Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud meminta petani menggerakkan usaha menjadikan Sarawak, pengeluar produk pertanian organik.

Beliau berkata, petani yang sebelum ini mengusahakan pertanian komersial boleh mengubah pendekatan kepada pertanian organik jika produknya mempunyai pasaran baik.

“Tidak sukar untuk meyakinkan petani berkenaan kerana data dari beberapa negara maju menunjukkan kecenderungan masyarakat negara terbabit untuk menghasil dan menggunakan produk itu.

“Bagi sesetengah negara maju, pengeluaran hasil pertanian organik hanya satu peratus pada 1990 tetapi meningkat kepada tujuh peratus sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pertanian Organik bagi Pembangunan Mapan di Hotel Crowne Plaza Riverside, di sini hari ini.

Majlis yang dianjurkan bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak, Institut Pembangunan Sarawak dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut dihadiri 120 peserta, termasuk pembentang kertas kerja dari China, India, Jepun dan Australia.

Taib berkata, sesetengah petani tempatan berjaya mengeksport hasil pertanian berkenaan ke Brunei dan sedang berusaha memasuki pasaran Singapura tidak lama lagi.

“Pasaran bagi makanan organik semakin berkembang berikutan meningkatnya kesedaran masyarakat terhadap sumber makanan yang sihat (tidak menggunakan bahan kimia),” katanya.

“Sebagai contoh, tumbuhan paku pakis dikenali sebagai `midin' yang banyak di kawasan paya negeri ini mendapat tempat di Jepun kerana pengguna negara itu mengetahui sayuran berkenaan tumbuh secara meliar,” katanya.

Bagi membantu petani di Sarawak mengembangkan pertanian organik, Taib meminta Jabatan Pertanian membuat penyelidikan terperinci mengenai pertanian berkenaan seperti kaedah kawalan serangga perosak.

Sementara itu, Pengerusi PPENS, Talip Zulpilip, berkata permintaan bagi makanan berasaskan pertanian organik di dunia meningkat daripada AS$10.5 bilion (RM40 bilion) pada 1997 kepada AS$20 bilion (RM76 bilion) pada 2000.

Katanya, Sarawak mempunyai tanah yang luas bagi pertanian berkenaan dan pihaknya akan membantu petani tempatan yang ingin menceburi bidang itu yang semakin berkembang sekarang.

“Kita tidak boleh menjamin makanan hasil pertanian organik 100 peratus bebas sisa racun kimia, tetapi ia lebih selamat sebagai produk makanan,” katanya



[ Menu Utama ]