Timur : Zon perladangan moden di Lanchang
Berita Harian, 8 Ogos 2002

JERANTUT, Rabu – Kerajaan Pahang sedang membuat perancangan membangunkan zon peladangan moden seluas 7,000 hektar di Lanchang, Temerloh, dengan memberi fokus kepada tanaman komersial dan buah-buahan tidak bermusim.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak, berkata pemilihan kawasan berdasarkan kesesuaian iklim, tanah serta tanaman yang akan ditanam, selain sistem perhubungan jalan rayanya yang baik.

"Lokasi yang dipilih amat strategik kerana ia terletak di tengah Pahang dan memudahkan hasil pertanian dari Temerloh, Maran, Jerantut, Bentong dan Raub disalurkan ke zon ini untuk diproses, sebelum dipasarkan lebih teratur.

"Di zon ini juga akan mempraktikkan amalan kultura tanaman secara giat dengan matlamat mengurangkan penggunaan tenaga pekerja," katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Perikanan negeri berkata, jentera akan digunakan untuk mencantas, mengawal rumpai, membasmi perosak tanaman dan penuaian hasil.

Katanya, bagi menjayakan projek itu, kerajaan berharap mendapat kerjasama, termasuk sumber kewangan dan kepakaran daripada pelbagai institusi dan agensi pertanian.

Beliau juga berkata, zon itu turut ditempatkan terminal makanan yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti surau, kedai, tempat riadah dan penempatan pekerja dan peserta projek.

Katanya, matlamat kerajaan negeri menjadikan Pahang sebagai negeri pengeluar terbesar tanaman makanan, buah-buahan, sayuran, daging lembu, ikan dan produk hiliran berasaskan tani membabitkan kawasan seluas 50,000 hektar pda 2010.

"Untuk pembangunan tanaman sayur misalnya, Pahang akan menjadi menyumbang 40 peratus sayuran negara melalui pembangunan tanah seluas 23,000 hektar serta menjadi pengeluar terbesar jagung negara.

"Selain itu melalui perancangan pembangunan tanaman herba, Pahang berhasrat memiliki kawasan seluas 10,000 hektar serta memajukan industri pemerosesan berasaskan herba menjelang 2010," katanya


[ Menu Utama ]