32 stesen Mardi jadi projek mesra rakyat
Berita Harian, 9 Ogos 2002

ROMPIN, Khamis – Kementerian Pertanian akan menjadikan 32 stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di seluruh negara lebih mesra rakyat dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Berikutan itu, pegawai dan saintis yang selama ini membuat penyelidikan di makmal Mardi, boleh melakukan penyelidikan mereka terus ke ladang, sekali gus memberi maklumat dan teknologi terkini yang boleh diguna pakai peladang terbabit.

Menterinya, Datuk Effendi Norwawi, berkata perubahan baru itu menandakan saintis yang selama ini dikatakan mempunyai dunia tersendiri, kini berminat penemuan mereka itu turut dinikmati rakyat.

“Langkah mendekatkan saintis Mardi dengan rakyat, adalah dasar baru kementeriannya supaya kajian dan penyelidikan yang dilakukan saintis berkenaan membawa manfaat kepada peladang dan petani di negara ini,” katanya selepas melawat stesen Mardi Bukit Ridan di sini hari ini.

Beliau berkata, arahan sudah diberi kepada pegawai bertugas di Mardi supaya merancang lebih banyak perjumpaan dengan masyarakat, mengadakan dialog dengan mereka dan membuat lawatan ke ladang serta stesen Mardi.

“Kita mahu rapatkan lagi hubungan antara Mardi dengan rakyat. Jika dulu mereka hanya saintis yang bekerja di makmal, tetapi sekarang mereka perlu turun ke ladang dan bawa teknologi yang ada terus kepada peladang dan petani,” katanya.

“Dasar ini sebenarnya sudah bermula dan banyak penyelidikan yang dilakukan saintis Mardi di ladang milik petani,” katanya selepas melawat stesen Mardi Bukit Ridan dekat Muadzam Shah, di sini hari ini.

Sementara itu, Effendi berkata, daerah Rompin boleh muncul sebagai pengeluar herba utama negara hasil kejayaan stesen Mardi Bukit Ridan dalam penyelidikan pengeluaran komersil produk buah dan puri mengkudu.

Beliau berkata, teknologi pemprosesan yang dimiliki Mardi mampu membangunkan industri herba lain di kawasan ini berikutan pasaran besar di peringkat negara dan antarabangsa.

“Pasaran herba dunia kini mencapai tidak kurang AS$80 bilion (RM304 bilion) setahun dan di Malaysia saja, jumlahnya hampir AS$5 bilion (RM19 bilion) setahun dengan 70 peratus adalah produk import



[ Menu Utama ]