Industri ternakan tempatan tidak
produktif
|
![]() DR MOHD KHUSAHRY MOHD YUSOFF
|
INDUSTRI daging di
Malaysia adalah sektor kedua terpenting dalam industri ternakan tempatan,
tetapi disebabkan jumlah pengeluaran rendah, negara terpaksa bergantung
kepada daging lembu import.
Faktor kritikal yang mempengaruhi industri lembu pedaging di negara ini
ialah kekurangan stok pembiakan yang bermutu selain sistem pengeluaran
tidak produktif.
Unjuran 1998 mendapati menjelang 2005, permintaan daging lembu negara
ialah 172,300 tan metrik, tetapi pengeluaran hanya sebanyak 40,020 tan
metrik.
Pada 2000, jumlah permintaan daging lembu bagi pasaran tempatan ialah
95,100 tan metrik. Bagaimanapun, pengeluaran daging lembu tempatan hanya
19,215 tan metrik, iaitu 21.31 peratus daripada kadar sara diri bagi
produk daging lembu untuk Malaysia.
Berdasarkan kajian, bagi memenuhi keseluruhan permintaan daging tempatan,
penternak perlu menyembelih hampir sejuta ekor lembu setahun dan untuk
menghasilkan jumlah itu, baka induk betina perlu melebihi 2.4 juta ekor.
Sedangkan pada 2000 bilangan induk betina berumur tiga tahun dan lebih
lembu pedaging hanya 217,289 ekor dan ini jelas menunjukkan ia tidak
mampu meningkatkan pengeluaran lembu yang banyak.
Sementara itu, nilai import produk daging negara dijangka terus
meningkat disebabkan pertambahan penduduk serta peningkatan ekonomi
negara.
Faktor lain yang membantutkan perkembangan industri lembu pedaging
tempatan ialah tiada struktur pemasaran berasaskan mutu, baik untuk
produk daging atau baka lembu pedaging.
Sehingga kini, produk daging lembu tempatan tidak mempunyai piawaian
gred mutu serta perbezaan harga antara lembu yang diternak di ladang
dengan lembu tua atau lembu yang meragut bebas.
Oleh itu, produk daging atau baka bermutu tinggi tidak mendapat harga
pasaran tinggi. Ini tidak menggalakkan penternak meningkatkan sistem
pengeluaran atau mutu produk mereka.
Justeru, sesuatu perlu dilakukan bagi menggalakkan peningkatan dalam
industri ternakan lembu. Ini kerana langkah membawa masuk lembu hidup
atau daging segar dari negara pengeluar lain, tidak akan dapat mengatasi
masalah keperluan daging negara dalam jangka panjang.
Antara langkah yang dilaksanakan setakat ini ialah merangka strategi dan
usaha berterusan untuk mengatasi masalah bagi jangka panjang seperti
menghasilkan baka lembu bermutu tinggi bagi merangsang pengeluaran
ternakan di negara ini.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi)
menjalankan kajian sejak 1980-an dan usaha itu membuahkan hasil apabila
dua baka lembu pedaging dihasilkan, iaitu baka Brahmas-KK yang kemudian
dinamakan Brakmas, dan Charolais-KK yang diisytiharkan nama barunya
sebagai Charoke.
Brakmas adalah kacukan antara baka lembu tempatan Kedah-Kelantan (KK)
dengan baka Brahman dari Amerika, manakala Charoke pula terhasil
daripada kacukan dengan baka lembu Charolais dari Perancis.
Pengarah Pusat Penyelidikan Ternakan Mardi, Dr Mohd Khusahry Mohd Yusuff,
berkata kejayaan mengacukkan baka lembu berkenaan dijangka meningkatkan
pengeluaran hasil daging tempatan.
Katanya, baka Brakmas sesuai diternak pada persekitaran tanaman kekal
seperti ladang kelapa sawit serta mempunyai prestasi pengeluaran lebih
baik dalam persekitaran berkenaan.
Katanya, baka berkenaan juga lebih mudah menyesuaikan diri dengan
keadaan tempatan serta menunjukkan prestasi tinggi dalam semua ciri
tumbesaran di padang rumput terbuka.
"Dengan adanya baka baru itu, peratusan pengeluaran daging tempatan
berupaya ditingkatkan.
“Mardi kini giat membiak baka berkenaan di ladang kelapa sawit di
beberapa negeri untuk memenuhi keperluan negara pada masa ini dan akan
datang," katanya.
Beliau berkata, lembu Brakmas menunjukkan prestasi lebih tinggi dalam
semua ciri pertumbuhan berbanding lembu tempatan KK.
Contohnya, pertambahan berat badan Brakmas ialah 0.75 kilogram (kg)
sehari. Pada umur 12 bulan, berat lembu Brakmas ialah 192kg bagi jantan
dan 157kg bagi betina, iaitu 23 peratus lebih berat daripada lembu KK
pada umur dan jantina sama.
Lembu baka Brakmas juga mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap
persekitaran tropika, penyakit serta serangan parasit luar dan dalam,
menjadikannya mudah diselenggara tanpa memerlukan banyak rawatan di
persekitaran ladang kelapa sawit.
Dr Mohd Khusahry berkata, untuk melaksanakan pengeluaran lembu jantan
pedaging terpilih Brakmas, anak lembu jantan Brakmas berusia 10 bulan
yang dihasilkan dari ladang elit Mardi di Stesen Bukit Ridan, menjalani
ujian prestasi berpusat.
Ujian selama 112 hari itu bertujuan melihat prestasi tumbesaran sebenar
anak lembu jantan berkenaan dan anak lembu yang melepasi indeks 90 akan
dipilih untuk ujian selanjutnya selama tiga bulan.
Ketika proses itu, ujian libido (nafsu syahwat) dan pungutan air mani
dilaksanakan bagi menentukan mutu air mani yang dihasilkan.
Lembu jantan yang berjaya melepasi indeks kesuburan ditentukan akan
ditandakan sebagai lembu jantan berpotensi.
Melalui kejayaan pengeluaran baka lembu jantan Brakmas secara sistematik,
Mardi dianugerah persijilan MS ISO 9001 tahun lalu.
Dr Mohd Khusahry berkata, dengan adanya MS ISO 9001, Mardi bercadang
mengeluarkan 100 lembu pejantan setiap tahun. Bilangan itu akan
ditingkatkan kepada 150 ekor pada tahun berikutnya berdasarkan kepada
sumber sedia ada.
Katanya, dalam tempoh lima tahun, Mardi mampu menyumbang 10 peratus
daripada keperluan lembu pejantan yang diperlukan negara untuk pembiakan
lembu di ladang kelapa sawit yang dianggarkan sebanyak 7,500 ekor.
Katanya, sumbangan lembu pejantan bermutu tinggi Brakmas dijangka
meningkatkan pengeluaran lembu negara dengan syarat kumpulan pengganda
diwujudkan seberapa banyak yang boleh di ladang kelapa sawit.
"Model ladang kumpulan pengganda sudah diwujudkan Mardi bersama Lembaga
Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang,” katanya.