KUALA TERENGGANU, Khamis – Jabatan
Perkhidmatan Haiwan negeri akan mewujudkan lebih banyak pusat
penyembelihan ayam bagi memastikan pengguna mendapat bekalan segar.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Datuk Dr Mohd Nordin Mohd
Noor, berkata sebahagian ayam yang dijual kurang bermutu berikutan ayam
yang diproses awal pagi dijual sehingga lewat petang tanpa menggunakan
bilik sejuk.
"Sebab itu ayam yang dijual di beberapa pasar utama di negara ini tidak
bermutu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ke Arah
Peningkatan Kualiti dan Pemodenan Industri Ayam di Pusat Dagangan
Terengganu (TTC) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan negeri,
Dr Mazlan Abu Sahar.
Mohd Nordin berkata, pihaknya akan mengenal pasti kawasan sesuai untuk
membina pusat pemprosesan dan penyembelihan ayam di beberapa bandar
utama secara berperingkat.
Selain menghasilkan daging ayam bermutu, katanya usaha itu lebih
memudahkan jabatan mengenal pasti masalah lebihan kandungan bahan kimia
dalam hasil ternakan.
Katanya, sistem pemprosesan ayam yang tidak teratur menyukarkan jabatan
mengenal pasti punca masalah itu.
Sementara itu, jabatan berkenaan menganggarkan jumlah hasil industri
ternakan negara tahun ini meningkat kepada RM5.9 bilion, berbanding
hanya RM5.4 bilion tahun lalu.
Dr Mohd Nordin berkata, peningkatan itu disebabkan kemajuan bidang
ternakan dan usaha pihak swasta untuk meningkatkan hasil pengeluaran
masing-masing.
"Jika semua pihak terutamanya penternak, pembekal dan pemborong
bekerjasama meningkatkan pengeluaran, sasaran kerajaan mencapai hasil
sebanyak RM81 bilion hasil ternakan dan pertanian dalam tempoh lima
tahun akan tercapai," katanya.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, Kelantan dan Terengganu
terutamanya di Besut masih diisytiharkan sebagai kawasan penyakit kuku
dan mulut.
Katanya, sehingga kini lebih 500 ekor lembu dan kerbau yang diternak di
beberapa mukim di daerah Besut mati dijangkiti penyakit berkenaan.
"Punca utama ternakan mudah dijangkiti penyakit ialah disebabkan sikap
penternak tidak mengurung ternakan mereka," katanya.
Sehubungan itu, katanya beliau menasihatkan penternak tidak melepaskan
ternakan masing-masing bagi memudahkan pegawai dan kakitangan jabatan
menyuntik ternakan.
[ Menu Utama ]