Sabah/Sarawak : Syarikat perladangan enggan beri kerjasama
Berita Harian, 9 ogos 2002


KOTA KINABALU, Khamis – Kerajaan Sabah tidak puas hati dengan sikap segelintir syarikat perladangan di negeri ini yang enggan bekerjasama meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara.

Ketua Menteri, Datuk Chong Kah Kiat, berkata syarikat perladangan terbabit, kecuali Felda yang mempunyai beribu-ribu hektar tanah kedekut walaupun mengaut keuntungan besar setiap tahun.

Katanya, pada mesyuarat khas bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Lajim Ukin, baru-baru ini, wakil syarikat terbabit memberikan pelbagai alasan apabila diminta memberi sokongan terhadap usaha kerajaan itu.

Malah, syarikat terbabit merayu kerajaan memberikan subsidi jika diminta memperuntukkan sebahagian ladang bagi kegunaan pertanian atau ternakan.

"Pada masa sama, syarikat perladangan ini juga berjanji memberi sumbangan beratus ribu ringgit bagi menjayakan kejohanan Sukan Malaysia Kesembilan bulan depan.

"Malangnya apabila cek diterima, nilainya tidak seperti dijanjikan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri, di tapak Tamu KPD Teluk Likas, di sini hari ini.

Chong berkata, beliau sudah mengarahkan Kementerian Kewangan negeri memberi perhatian serius terhadap cadangan kemungkinan menaikkan kadar sewa tanah perladangan di Sabah.

Katanya, menerusi kaedah itu, kerajaan boleh memperoleh pulangan daripada syarikat perladangan kelapa sawit terbabit bagi digunakan mencapai sasaran mempertingkatkan pengeluaran makanan negeri ini.

Beliau berkata, syarikat perladangan berkenaan sebenarnya tidak mempunyai masalah bekerjasama dan menyokong usaha kerajaan itu kerana memiliki sumber kewangan yang banyak serta kepakaran teknikal dan sumber manusia.

"Kita tidak minta banyak, kita minta sebahagian kecil daripada kawasan ladang seperti kira-kira 200 hektar untuk tanaman jagung, padi atau tanaman lain dan ternakan daripada beribu-ribu hektar keluasan tanah mereka," katanya.

Dalam pada itu, Chong berkata, Jabatan Pertanian negeri akan menjalankan kajian bagi mengenalpasti kesesuaian cadangan menukar kawasan sawah padi secara sara diri di Kota Belud kepada tanaman komersial.

Terdahulu dalam ucapannya ,Chong berkata, ada ketidakseimbangan pembangunan pertanian di negeri ini kerana syarikat bermodal besar lebih berminat mengusahakan tanah yang diperuntukkan bagi mengusahakan tanaman komoditi eksport, khususnya kelapa sawit dan koko.

Beliau berkata, import makanan Sabah meningkat setiap tahun dan yang lebih merisaukan peningkatan import beras, jagung dan daging.

Pada 2000 saja, Sabah mengimport beras bernilai RM176.67 juta, 175,000 tan jagung bernilai RM77 juta serta 5,700 tan daging lembu bernilai RM32.25 juta.


[ Menu Utama ]